Azman nyanyi lagu parodi lagi

Azman nyanyi lagu parodi lagi

“Saya tak tujukan lagu itu kepada sesiapa secara spesifik kerana hanya buat (lagu) berdasarkan keadaan semasa tanpa menyebut nama.

“Kalau ada yang terasa saya tak boleh buat apa,” kata Mohd Nur Azman Mohd Naim atau Azman Naim yang dikenali kerana kreativitinya menyanyikan lagu parodi di laman sosial.

Azman, 37 sekali lagi menarik perhatian netizen semalam apabila memuat naik videonya menyanyikan lagu Jika Kau Bercinta Lagi dendangan asal kumpulan Alleycats tetapi dalam versi lirik yang berbeza dengan tajuk Jika Harga Naik Lagi.

Lirik ciptaan Azman itu mencuit hati netizen dan mendapat pelbagai reaksi kerana kedengaran sarkastik dan dikatakan ada kaitan dengan isu semasa iaitu kenaikan harga telur di pasaran.

Berkongsi kisah di sebalik lagu parodi itu, Azman berkata, dia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menulis lirik, merakam dan menyunting video sebelum dimuat naik di laman sosialnya, azmannaim44mantra.

“Idea (cipta lirik lagu parodi) itu datang secara spontan petang semalam ketika saya tengah duduk dan terdengar lagu Alleycats.

“Kemudian, saya cuba tulis rangkap pertama dan berikutnya yang mengambil masa lima minit untuk lirik saja.

“Rakaman pula mengambil masa tujuh minit menggunakan aplikasi Smule manakala 10 minit untuk proses suntingan tulisan dan warna pada video dengan CapCut (aplikasi),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Azman berkata, sudah lama dia tidak memuat naik video nyanyian lagu parodi walaupun ramai memintanya berbuat demikian.

“Sebenarnya sudah ramai minta saya buat lagu tapi saya malas namun apabila tengok keadaan semasa membuatkan saya terfikir lirik dan terus rakam lagu.

“Ia bagaikan tembakan rambang dan saya harap sesiapa atau pihak berkenaan yang mungkin terasa lakukan sesuatu.

“Daripada sudut perkataan saya akui agak kasar sebenarnya tetapi sebelum ini ada saja perkataan seumpama dalam lirik lagu itu digunakan dan ramai okay dalam lagu sebelum ini sebenarnya ramai boleh terima,” katanya.

Azman berkata, nyanyian lagu parodi itu sekadar usahanya untuk mewakili suara rakyat dengan cara yang tidak keterlaluan.

“Pada pendapat saya, ada segelintir rakyat tidak tahu hendak kongsikan dengan siapa masalah mereka dan tiada tempat meluah.

“Jadi, saya ambil peranan bawa suara rakyat dan bagi saya, ini lebih baik daripada mengajak mereka memberontak di jalanan,” katanya.

Azman berharap, mesej daripada lirik lagu parodi nyanyiannya itu dapat membuka mata pihak berwajib.

Azman mula memuat naik video lagu parodi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua pada 13 Januari tahun lalu.

Bapa dua anak itu dalam kenyataannya sebelum ini berhasrat untuk terus mengetengahkan isu masyarakat menerusi nyanyian lagu parodi di media sosial selepas lagu My Sejahtera Way nyanyiannya tular, baru-baru ini.

Lagu My Sejahtera Way diambil daripada lagu asal berjudul My Way nyanyian Frank Sinatra.

Bukan hanya netizen malah video parodi Azman iturut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim. HM

Azman nyanyi lagu parodi lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker