Najib mahu Tengku Zafrul jawab 2 soalan ini

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempersoalkan kekurangan kira-kira RM17 bilion yang diperlukan untuk membayar balik hutang 1MDB seperti didakwa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

Ini menyusul kenyataan Tengku Zafrul bahawa walaupun dengan RM15.76 bilion dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset dan pembayaran balik RM515 juta serta USD954 juta (RM4 bilion) oleh Ambank dan Goldman Sachs, kerajaan masih kekurangan RM17 bilion untuk melunaskan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB berjumlah RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039.

Najib dalam maklum balasnya mengemukakan dua soalan kepada Tengku Zafrul mengenai dana yang diterima daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan hasil daripada aset 1MDB.



“Apa terjadi kepada perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi, di mana IPIC bersetuju membayar balik semua dana yang didakwa hilang daripada 1MDB setelah dihantar atau dijamin oleh mereka sebelum 30 Dis 2020?” soalnya di Facebook.

“Sekiranya perjanjian itu terus dibatalkan sebagaimana dilakukan kerajaan Pakatan Harapan dahulu, kita masih boleh mendapat bayaran sekurang-kurangnya USD3.5 bilion (RM15 bilion) daripada IPIC sebab bon 1MDB sebanyak USD3.5 bilion dijamin oleh IPIC. Jika 1MDB tak bayar, maka IPIC akan bayar.”

IPIC ialah penjamin bersama dua bon 1MDB berjumlah USD3.5 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu turut bertanya apakah yang berlaku kepada hasil daripada aset 1MDB seperti tanah di Pulau Pinang yang bernilai RM2.7 bilion, tanah di Pulau Indah (RM300 juta), projek TRX dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion serta projek Bandar Malaysia dengan GDV RM140 bilion.



“Adakah semua aset 1MDB ini tidak bernilai satu sen atau tidak memperoleh hasil pendapatan satu sen pun sejak projek bermula hingga 2039?” soalnya.

Najib berkata, beliau sedang menyiapkan jawapan bertulis bersama “bukti” berkaitan 1MDB untuk diserahkan kepada Dewan Rakyat esok.

“Bertulis, mereka tak mahu saya bahas.”

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun meminta Najib menjelaskan secara bertulis dakwaan Ahli Parlimen pembangkang bahawa beliau mengelirukan dewan berhubung isu pembayaran balik hutang 1MDB.



Tengku Zafrul bercakap mengenai isu RM17 bilion itu ketika menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) di Dewan Rakyat hari ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker