Beg sekolah berat, ibu bapa desak loker diwajibkan di sekolah

Beg sekolah berat, ibu bapa desak loker diwajibkan di sekolah

Masalah beg sekolah berat yang dikaitkan kepada sakit tulang belakang pelajar akan berlarutan selagi kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk sekolah mewujudkan sistem loker, kata ibu bapa dan pendidik.

Tindakan Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk membiayai sistem loker agar pelajar menyimpan buku teks di sekolah adalah amat tidak praktikal, kata Pengerusi PIBG SJK(T) Sungai Renggam, Seksyen 18, M Sukumaran.



“Semuanya tentang duit. Menyediakan loker berkunci adalah mahal. Jadi patut dibawa (dibiayai) oleh kementerian supaya ia diseragamkan seluruh negara. Kalau tidak, ada PIBG yang berkemampuan dan ada yang tidak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata kerajaan boleh menyalurkan dana terus sama ada kepada pengurusan sekolah, PIBG, atau Lembaga Pengelola Sekolah dengan syarat sistem loker itu harus disediakan dalam tempoh tertentu.

“Dalam setahun kalau tak buat (sistem loker), pulangkan kembali dana (kepada kerajaan). Kalau kerajaan buat arahan seperti ini, sekolah akan buat tak? Mesti mereka buat,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan seorang pelajar Tingkatan 5, Nurul Hanim Fazwin, menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah.



Ayahnya, Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, 44, yang juga doktor pakar kanak-kanak, yakin amalan menggalas beg sekolah berat saban tahun menyumbang kepada kerosakan tulang belakang anaknya.

Zaqrul memberitahu FMT, beliau juga menyaksikan banyak kes anak-anak senasib Nurul Hanim menderita sakit tulang belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sukumaran berkata kerajaan tidak boleh menutup mata kepada masalah pelajar sekolah rendah dan menengah menggalas beg berat sehingga 7kg ke sekolah, tahun demi tahun.

Beliau kesal banyak pihak bersikap acuh tak acuh setiap kali cadangan menyediakan loker di sekolah diutarakan, manakala tak kurang yang mempersoalkan sumber dana untuk membiayai projek itu.



Sukumaran mencadangkan dana Kementerian Pendidikan harus diberikan secara terus kepada pengurusan sekolah, untuk menjamin projek menyediakan loker ini, berjaya.

“Jika kementerian nak buat bagi seluruh Malaysia, akan ambil masa 10 tahun. Pejabat Pelajaran Daerah nak buat mungkin lima tahun. Tapi kalau sekolah nak buat, boleh buat (lebih cepat).

“Jadi (kerajaan patut) salurkan bantuan (terus kepada sekolah) dan sekolah pergi cari kontraktor,” kata beliau.

Menurut surat pekeliling Kementerian Pendidikan pada Sept 2018, semua sekolah digalak mewujudkan sistem loker, tetapi hanya jika berkemampuan berbuat demikian.



Pekeliling itu antara lain menyatakan kajian KPM pada 2017 bahawa isu beg berat adalah disebabkan murid-murid membawa terlalu banyak buku termasuk buku latihan, buku swasta, kamus, buku komik, botol air, bekalan makanan, dan alat tulis yang melebihi keperluan.

Selain daripada mewujudkan loker, Sukumaran juga mencadangkan guru periksa berat beg pelajar secara berkala dan memastikan pelajar hanya membawa buku mengikut jadual pengajaran.

“Bukan tiap-tiap hari. Mungkin dua tiga hari sekali…ada pelajar malas nak tengok jadual, ambil (semua buku) letak (dalam beg) dan jalan (ke sekolah).”

Kalangan ibu-bapa yang ditemui FMT bimbang akan isu beg sekolah berat, walaupun ia tidak banyak diperkatakan di media.



Bagi Julia Abdullah, 37, terlalu banyak subjek yang diajar antara penyumbang kepada masalah itu.

“Kesian anak-anak. Satu hari berapa mata pelajaran. Kadang lima, kadang enam. Kalau enam, (maknanya) enam buah buku teks. Belum buku tulis, buku aktiviti.

“Beg sekolah anak saya, saya yang pikul dari tingkat tiga (rumah flat) sampai ke bawah. Sampai sekolah anak pula pikul. Sampai rumah, saya pula pikulnya.

“Ada yang balik sekolah, tak sempat makan, terus tidur. Bukan penat belajar, tapi penat memikul beg sekolah,” kata suri rumah sepenuh masa itu.



Pekerja swasta, Yusri Salim, 44, berkongsi kisah anaknya yang kerap mengadu sakit belakang setiap kali pulang ke rumah.

“Beg terlalu berat. Budak seksa nak pergi sekolah. ‘Okay’ juga kalau buku tinggal di sekolah. Kalau buat loker dalam kelas, cikgu boleh pantau. Budak-budak sekarang badan kecil. Bahaya untuk tulang belakang mereka. Kadang sudah balik tu penat, sakit belakanglah”.

Subanesan Sinnaian, 49, seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah risau melihat anaknya menggalas beg berat dan menaiki tingkat tiga bangunan sekolah, setiap hari.

“Kalau boleh jangan bebankan anak kita dengan beg berat. Anak saya kena naik sampai tingkat tiga, memang saya risau.” FMT

Beg sekolah berat, ibu bapa desak loker diwajibkan di sekolah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rakaman CCTV Detik-Detik Kenderaan Pelakon Vanessa Angel Kemalangan Viral [VIDEO]

Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker