Pakar jangka Malaysia berhadapan dengan 60,000 kes sehari dalam waktu terdekat

SHAH ALAM – Pakar menjangkakan negara akan merekodkan kes positif Covid-19 sehingga 60,000 dalam tempoh terdekat.

Mengikut rekod, kes positif kembali kepada lima angka pada Ahad dengan lebih 10,000 jangkitan manakala jumlah itu terus meningkat kepada 11,304 kes baharu pada Isnin.

Peningkatan kes ini sememangnya sudah dijangka oleh pakar-pakar kesihatan sejak kedatangan varian Omicron yang memberi impak kepada bilangan kes.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, tidak mustahil kes baharu positif Covid-19 di negara ini lebih banyak daripada angka yang dilaporkan dan Malaysia perlu bersedia untuk bilangan kes yang akan naik mendadak dalam masa terdekat.

“Angka 10,000 hanyalah kes yang dilaporkan dan dijangkakan di luar sana masih banyak kes positif akibat gelombang Omicron seperti yang berlaku di semua negara. Varian ini sudah lama sampai tetapi kita baru terkesan.

“Malaysia harus bersedia dengan peningkatan kes mendadak yang pasti akan berlaku dalam tempoh seminggu dua ini. Kita menjangkakan kes akan meningkat dalam 20,000 ke 50,000 sehingga 60,000 dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Sinar Premium.

Dr Sazaly berkata, biarpun angka kes baharu semakin meningkat, perkara yang perlu diberi perhatian adalah bilangan jumlah pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka di kategori empat dan lima yang masih lagi dapat dikawal setakat ini.

“Indikator kita adalah jumlah pesakit Covid-19 kategori empat dan lima dan di ICU. Selagi jumlah kategori tersebut dapat dikawal, kita tidak perlu terlalu bimbang.“Sekiranya mereka dimasukkan ke hospital tetapi tidak memerlukan rawatan rapi, ia tidak terlalu serius kerana mereka berada di dalam pemerhatian sahaja terutamanya bagi pesakit yang menghidapi Komorbid,” katanya.

Namun Dr Sazaly menyarankan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat persediaan keperluan-keperluan peralatan terhadap sebarang kemungkinan.

“Sekarang ini, jumlah yang memerlukan rawatan rapi adalah kecil dan masih terkawal. Namun, apabila kes angka positif mencecah 100,000 walaupun hanya 0.1 peratus angka yang memerlukan rawatan rapi, jumlah itu tetap tinggi jadi kita masih perlu berhati-hati,” katanya.

Selain itu, Dr Sazaly berpandangan penyelesaian terbaik adalah dengan menguatkuasakan pemakaian prosedur operasi standard (SOP) yang sudah berkurang dalam masyarakat.

“Contohnya, penjarakan fizikal di kenduri kahwin sudah berkurang. Kita lihat banyak majlis-majlis perkahwinan sudah mengamalkan budaya bersalam-salaman dan tidak memakai pelitup muka.

“Ini mungkin berpunca daripada pemikiran segelintir masyarakat yang merasakan mereka tidak boleh menularkan Covid-19 kerana sudah divaksin. Kita harus ingat bahawa vaksin tidak boleh menghalang penularan dan kebolehjangkitan adalah sama,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga pernah berkata Malaysia mungkin bakal menyaksikan angka harian kes Covid-19 mencecah sehingga 22,000 menjelang akhir bulan depan.

Namun pihak berkuasa menyatakan kadar vaksinasi yang tinggi di Malaysia berkesan mengurangkan kesan serius jangkitan Covid-19 yang mana hampir 80 peratus daripada kesemua penduduk Malaysia yang layak, sudah lengkap divaksin.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, kes mendadak naik sudah dijangkakan kerana Omicron amat mudah dijangkiti dan kebanyakan tidak bergejala.

“Bila tiada gejala, kita tidak tahu sama ada orang sekeliling kita dijangkiti Covid-19 atau tidak termasuk diri sendiri.

“Jika jumlah kes terlampau banyak, ia juga akan menyumbang kepada peningkatan kes yang serius dan kerana itu kita kena pantau agar jangkitan itu terkawal,” katanya.

Namun Dr Zamberi yang juga Pengerusi Bersama Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia itu berpandangan, apabila kes sudah mencapai puncak, ia akan kembali menurun dan imuniti populasi akan meningkat.

“Semakin ramai orang yang dijangkiti, imuniti populasi juga akan meningkat sekaligus kes akan menurun. Namun sekarang, kita baru di tahap kes naik secara mendadak.

“Kita masih perlu berhati-hati. Kalau kes semakin banyak, mereka yang akan mendapat jangkitan serius juga boleh meningkat walaupun peratusannya kurang,” katanya.

Pakar jangka Malaysia berhadapan dengan 60,000 kes sehari dalam waktu terdekat


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rakaman CCTV Detik-Detik Kenderaan Pelakon Vanessa Angel Kemalangan Viral [VIDEO]

Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker