8 Ahli Parlimen PPBM Akan Melompat ke UMNO
Oleh Nurul Aishah
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat semakin porak peranda sejak kebelakangan ini. Desas desus terbaharu bertiup kencang bahawa lapan Ahli Parlimen PPBM dikatakan akan melompat ke UMNO selepas Pilihan Raya Negeri(PRN) Johor.
Mereka mengambil keputusan tersebut atas dasar hilang kepercayaan terhadap parti Muhyiddin yang kini dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Malah lapan ahli Parlimen ini juga tahu bahawa PPBM tidak akan menang satu pun kerusi di PRN Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
PPBM turut dilihat sangat tidak bermaya memandangkan tiada “wow” faktor yang mampu memberi “nyawa” kepada parti Muhyiddin itu. Malah tindakan Muhyiddin enggan bertanding dalam PRN Johor juga dilihat sebagai petanda PPBM bakal berkubur.
Ramai yang berpendapat bahawa ini adalah kifarah terhadap parti yang ditubuhkan dengan matlamat untuk merosakkan parti UMNO yang selama ini menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaysia dengan penuh istiqamah.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PPBM bersilih ganti mengugut untuk menarik sokongan terhadap kerajaan campuran yang ada sekarang. Perkataan “tekan butang” juga begitu viral yang merujuk kepada ugutan tersebut.
Namun perkara sebaliknya berlaku apabila berita ahli PPBM berduyun-duyun keluar meninggalkan parti Muhyiddin menyebabkan ugutan pemimpin PPBM menjadi bahan jenaka di media sosial.
Dengan tiba-tiba Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang PPBM tidak akan menarik sokongan kepada kerajaan kononnya kerana memikirkan kepentingan rakyat.
Sebagaimana yang kita tahu tindakan Muhyiddin sentiasa bermotifkan kepentingan beliau sendiri. Kepentingan rakyat tidak pernah ada dalam agenda penyandang presiden PPBM itu.
You must be logged in to post a comment.