Rumah Sharifah Shahirah jadi pusat transit barang bantuan
Rumah Sharifah Shahirah jadi pusat transit barang bantuan
Tak kisah digelar artis tua dan sendu apabila turun padang menghulurkan bantuan, pelakon dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah tetap menggerakkan usaha bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.
Malah, Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera sanggup menjadikan kediamannya sebagai pusat transit barang bantuan kepada mangsa banjir.
Bukan sahaja sekitar Lembah Klang, malah, Shiera, suaminya, Ijoy Azhari dan pasukan sukarelawan turun padang menghantar barang keperluan di Pahang.
Shiera berkata, dia tidak mempedulikan suara sumbang mempersoalkan kredibilitinya membantu orang ramai.
asukan Bencana Istana Negara bantu mangsa banjir di 4 daerah di Selangor
“Ada yang kutuk saya artis sendu, tetapi Alhamdulillah, ramai datang memberi sokongan.
“Kadang-kala ada mempersoalkan kehadiran saya sebagai artis tua apabila saya turun padang. Namun, berguna juga ‘si tua’ ini dan masih kuat membantu.
“Malah, saya percaya artis tua seperti Didie Alias, Liza Abdullah dan ramai lagi berusaha menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya kepada BH Online.
Shiera berkata, ramai rakan artis turut menghulurkan bantuan melaluinya untuk disampaikan kepada mangsa banjir.
“Jujurnya, ramai rakan artis memberi sumbangan. Bukan sahaja membeli barang keperluan, malah, tidak berkira soal wang ringgit untuk mangsa banjir.
“Ada penyanyi memberikan ribuan ringgit, tetapi tidak mahu namanya didedahkan. Namun, kebanyakan artis yang datang menghulurkan bantuan sebaya dengan usia saya.
“Saya lihat ramai artis sanggup turun padang seperti Datin Nina Juren. Beliau menghubungi saya untuk turun padang bersama membantu mangsa banjir,” katanya.
Shiera berkata, dia menggunakan platform media sosial bagi berkongsi maklumat berkaitan bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir.
“Sebenarnya, saya mula aktif membantu mangsa banjir sejak berlaku musibah buruk di Pahang, awal tahun ini.
“Namun, berbeza dengan kejadian banjir di Pahang, kita masih boleh tersenyum lagi kerana tidak banyak kawasan terjejas dan saya berkesempatan menghantar keperluan ke sana sendiri.
“Berbeza banjir kali ini, satu Malaysia terjejas. Jadi, saya muat naik dalam Instagram (IG) dan minta tolong orang ramai membantu mangsa banjir.
“Tetapi, jika ada mangsa memerlukan, saya akan hantar sendiri,” katanya.
Akuinya, ramai sukarelawan tahu rumahnya menjadi pusat transit barang bantuan mangsa banjir.
“Saya banyak barang, jadi ada yang datang ke rumah untuk mengambil barang. Siapa sahaja termasuk Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang menghantar mesej langsung dalam IG, saya akan hantar,” katanya.
Katanya, dia bersyukur ramai memberi sokongan dan usaha murninya dipermudahkan Allah.
“Alhamdulillah, ramai menghantar barang. Ada penderma dari Johor dan Pulau Pinang datang ke rumah, malah, ada juga bertongkat dan tidak berkaki. Kebanyakannya saya memang tidak kenal.
“Saya gembira tak sangka Allah permudahkan urusan saya. Apabila minta tolong, semuanya dapat.
“Jadi, saya merasakan mungkin Allah menjadikan saya sebagai perantaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Shiera kini sedang giat membeli dapur dan gas bagi membantu mangsa banjir meneruskan kehidupan.
“Barang dihantar mungkin keperluan yang boleh digunakan selama beberapa hari. Selepas itu, bagaimana pula?
“Seperti baju boleh dicuci dan dipakai semula. Sekarang, saya mula mengumpul dan membeli dapur serta gas bagi memudahkan mangsa banjir memasak,” katanya.
Jauh di sudut hati, Shiera tidak menafikan memikul tanggungjawab berat dalam menjalankan amanah.
Justeru, katanya, dia mencuba yang terbaik untuk menggembleng tenaga membantu selagi berdaya.
“Memang tak menang tangan, tetapi saya tolong kerana Allah. Jujurnya, ada masa saya menangis melihat kesusahan orang ramai.
“Disebabkan itu, saya tidak boleh duduk diam. Ini bukan masa berborak, tetapi buat kerja membantu orang ramai.
“Namun, saya sukar turun padang membantu semua orang kerana bekerja. Saya turun padang pun hanya menyemak sahaja, risau tak jadi kerja.
“Tetapi, saya tak menafikan kehadiran artis boleh menceriakan suasana. Jadi, saya akan buat mana yang sempat memandangkan sibuk bekerja.
“Sumbangan dihantar ke rumah saya akan diagihkan kepada sukarelawan yang bergerak ke kawasan terjejas,” katanya yang pernah menjadi mangsa banjir apabila terkandas ketika bercuti bersama keluarga di tanah persendirian miliknya di Ulu Dong, Raub, awal tahun ini. BH
Rumah Sharifah Shahirah jadi pusat transit barang bantuan
Baca Artikel Menarik :
- Air terjun Lata Berangin deras menggerunkan (Video)
- Amaran hujan tahap bahaya di 8 negeri hingga Ahad ini
- Kelah merah RM3,100 rezeki pasca banjir
- Anzalna sebak ganti Siti Sarah
- Waspada dengan kecurian data daripada RFID
- Taufan badai Malaysia bukan lagi lawak, waspadalah
- Banjir Pahang: Timbunan kayu bukan sisa balak
- Padah tumbuk muka isteri hingga koyak hidung
- Banjir, 10 jam duduk atas bumbung dengan kucing dan ular sawa
- Tertinggal isteri selepas isi minyak (Video)
- Hishammuddin ucap penghargaan buat Sharifah Shahirah
Layari Laman Facebook MYKMU</a