#PRNMelaka : Pertembungan terhebat sejarah Melaka di Parlimen Masjid Tanah
Oleh Wahida
Perbualan politik Parlimen Masjid Tanah sentiasa hangat sejak Ahli Parlimennya Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Puteri UMNO Malaysia telah membuat kejutan untuk melompat ke PPBM setelah BN kalah di PRU14. Terlalu banyak cerita yang kurang enak didengar di sebalik tindakan melompat ini dan dikatakan nama beliau muncul di dalam senarai SPRM.
Di PRU14 lalu, kelima-lima DUN di Masjid Tanah telah disapu bersih oleh BN/UMNO. Ketika itu juga, Ketua Bahagian UMNOnya adalah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang kini adalah juga Ketua BN/UMNO Negeri Melaka.
PRNMelaka 2021 kali ini, kedua-dua mereka akan bertembung untuk merebut kerusi N02 Tanjung Bidara. Kedua-duanya adalah figura yang hebat tetapi perlu diingat kemenangan Mas Ermieyati yang lalu bukan kerana dirinya tetapi kekuatan jentera BN/UMNO Masjid Tanah yang dipimpin Datuk Rauf.
Setakat hari ini, Tanjung Bidara akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru iaitu BN, PPBM dan PKR walaupun di pilihanraya-pilihanraya yang lalu, ini merupakan kerusi tandingan PAS.
Di N01 Kuala Linggi, kita akan menyaksikan pertandingan muka-muka baru dari ketiga-tiga parti yang bertanding. BN meletakkan Rosli Abdullah untuk melawan PAN dan PAS. Penyandang kerusi Kuala Linggi adalah Dato Haji Ismail Othman selama 2 penggal. PRU14 lalu, PKR dan PAS juga telah meletakkan calon mereka di mana calon PAS telah hilang wang pertaruhan. Yang pasti, PAN dan PAS juga akan mencuba kekuatan mereka di sini.
N03 Ayer Limau pula adalah pertembungan muka-mua baru juga untuk ketiga-tiga parti BN, PH dan PN. Ketika PRU14 calon BN/UMNO telah menewaskan calon-calon dari PAN dan PAS dengan kelebihan majoriti sebanyak 1,479. Sememangnya DUN Ayer Limau tidak pernah terlepas kepada parti-parti lawan selain daripada BN/UMNO. Kali ini, BN dengan beraninya meletakkan seorang calon muda Hameed Mytheen Kunju Basheer, Ketua Pemuda UMNO Masjid Tanah dan calon adalah Ketua AWAN Amanah Masjid Tanah, Mazenah Baharuddin. Sehingga hari ini, masih tidak ketahuan biodata Dr Nordiana Abdul Latif dari PPBM.
Ramai yang mengatakan N05 Taboh Naning adalah kerusi yang akan direbut oleh pihak lawan samada dari PH atau PN hanya kerana majoriti pada PRU14 adalah tipis. Penyandangnya Latipah Omar hanya mendapat kelebihan 740. Kali ini BN telah meletakkan seorang yang berpengalaman dan berpengaruh, Zulkiflee Mohd Zin yang juga merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pula akan mempertahankan kerusi N04 Lendu. Di pihak lawan pula, mereka mempertaruhkan muka-muka baru yang terdiri daripada bekas askar untuk PPBM dan calon anak muda berumur 35 tahun untuk PKR yang juga Ketua Penerangan PKR Masjid Tanah.
Nampaknya kerusi DUN Lendu akan dikeluarkan dari zon kerusi panas memandangkan tiada figura hebat dari pihak lawan jika berbanding dengan DUN Tanjung Bidara. Walaupun pada PRU14 lalu majoriti Datuk Sulaiman adalah tipis, dengan aura kepimpinan hari ini, beliau pasti akan mampu meningkatkan majoritinya.
Berikut adalah senarai calon-calon dari BN, PH dan PN setakat hari ini;
PARLIMEN MASJID TANAH
N01 Kuala Linggi –
Rosli Abdullah (BN)
Julasapiah kasim (PAN)
Aziah Mohd Sa’ad (PAS)
N02 Tanjung Bidara –
Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (BN)
Zainal Hassan (PKR)
Mas Ermieyati Samsudin (PPBM)
N03 Ayer Limau –
Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN)
Mazenah Baharuddin (PAN)
Dr Nordina Abd Latif (PPBM)
N04 Lendu –
Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN)
Mohamad Asri Ibrahim (PKR)
Mejar (B) Abdullah Mahadi (PPBM)
N05 Taboh Naning –
Zulkiflee Mohd Zin (BN)
Zairi Suboh (PAN)
Abu Hashim Abdul Samad (PAS)
You must be logged in to post a comment.