PRN MELAKA : UMNO Gerakkan Jentera, Amaran Awal Pada Idris Haron Dan Nor Azman
Oleh Nurul Aisyah
[videopress Fe3wgqSv]DESAS-desus bertiup kencang Pilihanraya Negeri(PRN) Melaka akan diadakan dalam masa terdekat. Menurut sumber, bulan November bakal meriah dengan jentera PRN namun semua pihak akan tetap patuh pada Standard operating procedure(SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR). PRN ini penting bagi mengukur tahap kesediaan Malaysia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15(PRU-15) nanti.
Walaubagaimana pun kesahihan PRN Melaka hanya akan terjawab minggu hadapan apabila SPR membuat pengumuman.
Dalam perkara ini UMNO Melaka enggan membuang masa. Memetik video di atas, parti Melayu terbesar itu telah menggerakkan jentera pilihanraya di seluruh negeri Melaka bagi menghadapi kemungkinan PRN.
Dalam satu sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abd Raof Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Raof menjelaskan jentera pilihanraya UMNO Melaka kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan berlaku PRN.
Raof juga menyatakan keyakinan untuk mempertahankan semua kerusi DUN yang dimenangi UMNO dalam PRU 14, disamping merampas kembali beberapa kerusi tradisi UMNO yang terlepas ke tangan PH dalam PRU 14 yang lepas.
Kenyataan Raof itu dilihat sebagai amaran awal UMNO Melaka kepada dua ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Al. Dua ADUN tersebut adalah Idris Haron mantan ADUN Sg Udang dan juga mantan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman. UMNO Melaka berikrar akan berjuang habis-habisan dalam PRN Melaka untuk memastikan Idris dan Nor Azman berputih mata.
Idris dan Nor Azman berkemungkinan besar dikatakan akan bertanding atas tiket bebas. Sekiranya ini berlaku, laluan agak sukar bagi mereka. Menurut sumber, Pakatan Harapan hanya mahu menerima mereka sekiranya Idris dan Nor Azman memenangi mana-mana kerusi DUN dalam PRN Melaka.
Dalam sidang media yang sama, Ahmad Maslan menyatakan rasa puas hati atas persediaan yang telah dilakukan oleh UMNO Melaka.
“Mungkin PRN Melaka akan menjadi model kerjasama antara UMNO dan parti lain dalam membentuk kerajaan selepas PRU 15 nanti”, tambah Ahmad Maslan.
PRN ini dilihat sebagai medan ujian untuk rakyat Melaka khususnya dan juga rakyat Malaysia amnya.