‘Usah runsing, benda boleh ejas’

ORANG berjawatan, berkedudukan dan bertaraf tinggi sentiasa mempunyai kelebihan. Kadang-kadang keistimewaan mereka itu turun kepada anak-anak mereka.

Kalau tidak masakan Nyonya Mansoor (lakonan Mak Dara dalam filem Ibu Mertuaku) mengeluarkan dialog, “Siapa Kassim Selamat? Lawyer, majistret?”

Ini menunjukkan kepercayaan Nyonya Mansoor bahawa darjat kehidupan Kassim Selamat (lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) sebagai ahli muzik lebih rendah berbanding jawatan-jawatan yang disebutkan itu.



Semasa di bangku sekolah kita juga pasti berhadapan dengan situasi pilih kasih. Jika rakan kita bapanya orang berkedudukan, sesetengah guru-guru pasti memberikan ‘perhatian’ lebih.

Jika berbuat salah, kerja rumah tak siap, mesti hukumannya kurang sedikit daripada anak petani yang tidak ketahuan susur galurnya.

Malah jika ada pemilihan pemain pasukan bola sepak sekolah, anak golongan ‘darjat’ tinggi ini ada kelebihan.

Tahan bola pun tidak pandai, tetapi memandangkan bapanya DO (Pegawai Daerah) jadi ada perlunya untuk menyarung jersi sekolah. Sekurang-kurangnya lepas juga duit air mineral dan ‘air tenaga’ hasil sumbangan bapa DO tadi.



Yang anak petani ini pula di mana serba-serbi kelengkapan sukan tidak cukup, but bola pinjam dengan abang, itu pun tali but dicerut sebab saiznya besar lebih dua inci.

Kalau bapanya hadiahkan but bola pun, itu hasil berhutang dengan tauke getah. Minggu depan kutip getah sekerap, tauke potong hutang minggu sebelumnya.

Secara tidak langsung budaya ini telah berakar umbi dari zaman kanak-kanak ini kecil lagi. Kesannya boleh dilihat pada hari ini, apabila negara melahirkan generasi yang rendah nilai integriti.

Anak DO itu mungkin terbiasa mendapatkan sesuatu melalui jalan pintas. Anak petani pula mungkin terjerumus dalam sistem sama suatu hari nanti.



Macam adegan satira Kassim Baba dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang menawarkan ‘duit kopi’ kepada penyamun yang menangkapnya. Seniman agung kita, P. Ramlee sudah melihat ‘barah’ ini sejak tahun 60-an lagi.

Budaya ‘ejas’, berlaku di pelbagai peringkat hingga mengenepikan hak mereka yang layak. Semua perkara yang dikehendaki seolah-olah ada ‘pemudah cara’ untuk mendapatkannya.

Jadi, bagaimana mahu cari benih yang baik jatuh ke laut jadi pulau.

Nescaya, walaupun tidak semua, namun individu sebegini jika mengisi jawatan di peringkat apa pun, tidak terlepas daripada perlakuan salah.



Tidak hairanlah saban hari kita disajikan dengan kes tangkapan melibatkan jenayah rasuah. Nilai suapan pun kadang-kadang banyak tak terjangkau akal.

Harap-harap mereka yang menyalahgunakan kedudukan ini, jika mati nanti boleh tersenyum macam Kepala Penyamun dalam Ali Baba Bujang Lapok.

Jika orang tanya kenapa senyum jawab sahaja, “Aku mati dalam iman.”

‘Usah runsing, benda boleh ejas’




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Total war UMNO-Bersatu pasti berlaku dalam PRU-15



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker