7 makanan yang boleh kurangkan stress

7 makanan yang boleh kurangkan stress

Terdapat banyak cara untuk menghilangkan stres. Ada yang keluar berjalan-jalan dan ada juga yang hanya tidur seharian.

Stres yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan mental, tetapi juga keadaan fizikal anda.

Kajian menunjukkan, jika anda mengalami stres yang kronik, ia akan meningkatkan risiko untuk mengalami penyakit jantung dan kemurungan.

Bagaimana pula jika guna strategi makanan penghilang stres? Adakah makanan hilangkan stres ini berkesan?

Ada sesetengah makanan penghilang stres yang boleh membantu anda mengawal stres tersebut.

Kami senaraikan beberapa jenis makanan hilangkan stres.

1. Serbuk matcha

Serbuk matcha adalah sejenis serbuk yang dihasilkan daripada daun the hijau yang dikisar halus.

Dalam serbuk matcha, terdapat kandungan L-theanine, yang merupakan sejenis asid amino bukan protein yang kaya dengan kandungan anti stres.

Serbuk matcha kaya dengan kandungan L-theanine memandangkan
pohonnya dibesarkan di bawah teduhan, yang meningkatkan kandungan L-theanine
ini.

2. Ubi keledek

Ubi keledek adalah sejenis sumber karbohidrat yang kaya dengan pelbagai nutrisi lain. Apabila anda memakan ubi keledek, ia boleh membantu merendahkan hormon kortisol dalam tubuh anda.

Hormon kortisol adalah hormon penyebab stres berlaku. Antara kandungan nutrien yang terdapat dalam ubi keledek ialah vitamin C dan juga potasium.

Kedua-dua nutrien ini sangat berkesan dalam melawan stres yang anda alami.

3. Kimchi

Kimchi adalah sejenis makanan tradisional masyarakat Korea.

Ia sejenis hidangan sayuran yang difermentasi atau ditapai, yang biasanya dihasilkan daripada sayur kubis, lobak putih, daun bawang dan serbuk cili.

Disebabkan ia ditapai, ia kaya dengan kandungan bakteria baik yang disebut sebagai probiotik.

Kajian menunjukkan, probiotik mampu mengurangkan kadar stres dan keresahan yang dialami oleh seseorang.

4. Telur

Telur merupakan salah satu sumber protein yang baik dan amat bernutrisi.

Sebiji telur yang anda makan bukan hanya mengandungi protein dan lemak, tetapi juga terkandung vitamin, mineral dan juga antioksidan.

Kesemua nutrien ini sangat bermanfaat dalam melawan stres yang dialami. Selain itu, telur juga mengandungi kolin.

Kolin adalah sejenis nutrien yang berperanan melindungi otak daripada stres yang berlaku. Selain itu, kolin juga sangat membantu menaikkan mood anda.

5. Kerang-kerangan

Tidak terhad kepada kerang sahaja, ia juga merujuk kepada pelbagai jenis makanan bercangkerang lain. Ini termasuklah tiram, kupang dan kepah.

Kerang-kerangan seperti ini sangat kaya dengan sejenis asid amino yang disebut sebagai taurin.

Taurin amat diperlukan bagi menghasilkan dopamin. Dopamin adalah neurotransmitter otak yang berperanan mengawal tindak balas stres.

Kajian juga menunjukkan bahawa, taurin mempunyai kesan anti kemurungan.

Selain taurin, kerang-kerangan juga kaya dengan pelbagai mineral lain yang sangat membantu meningkatkan mood anda.

6. Ikan berlemak

Apabila disebut ikan berlemak, anda pasti terbayangkan ikan salmon. Namun, di negara kita, ikan salmon bukanlah sejenis ikan yang mudah untuk dijumpai.

Tambahan pula, harganya juga agak mahal. Namun, ada beberapa jenis ikan yang juga kaya asid lemak omega-3 sebagai ganti ikan salmon.

Anda boleh makan ikan tenggiri dan ikan sardin yang sangat kaya kandungan omega-3. Omega-3 sangat terkenal dengan fungsinya yang meningkatkan kesihatan otak.

Menurut kajian, mereka yang kurang mengambil sumber omega-3 akan lebih mudah mengalami kemurungan dan juga keresahan.

7. Bawang putih

Tidak ramai yang gemar memakan bawang putih disebabkan baunya yang kuat. Namun, tidak ramai juga yang tahu bahawa bawang putih amat berkesan dalam menangani stres yang berlaku kepada anda.

Bawang putih mengandungi kandungan sulfur yang membantu meningkatkan paras glutathione.

Glutathione adalah sejenis antioksidan yang membantu tubuh anda melawan stres.

Kajian juga melaporkan bahawa, bawang putih membantu mengawal
simptom keresahan dan kemurungan melalui kajian yang dilaksanakan ke atas haiwan.

Oleh itu, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan
kesannya ke atas manusia.

Kesimpulan

Bagi anda yang sedang cuba mengawal keadaan stres yang dialami, cuba masukkan senarai makanan yang dinyatakan ini dalam diet anda.

Jadikannya sebagai salah satu bahan wajib dalam masakan harian anda.

Anda mungkin akan berasa lebih tenang dan relaks selepas ini. FMT

7 makanan yang boleh kurangkan stress


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saranan buat Syed Saddiq tentang ekuiti bumiputera

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker