COVID-19: Uncle Kentang Terus Gigih Menyumbang

KUALA LUMPUR, 13 Nov — Soal kelangsungan hidup kumpulan masyarakat tidak bernasib baik yang amat memerlukan bantuan tatkala rutin seluruh rakyat tergendala susulan pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) sejak Mac lepas, sering menganggu akal fikiran Kuan Chee Heng.

Ia benar-benar menyentuh hati dan menganggu fikiran Kuan, atau dikenali ramai dengan panggilan “Uncle Kentang”, sehingga beliau pernah mengalami kemurungan, dan takut untuk keluar membeli barang keperluan.

“Saya terbaring, tidak dapat bangun sehingga lima hari,” kata pesara polis berumur 57 tahun yang merupakan seorang dermawan yang cukup terkenal di media sosial Malaysia itu, dalam satu temu ramah dengan Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun Uncle Kentang bukanlah dermawan biasa yang menyampaikan sumbangan besar menerusi kutipan derma kebajikan, sebaliknya beliau biasanya bertindak ‘turun padang’ menyinsing lengan untuk berurusan terus dengan mereka yang kesempitan hidup.

Apabila sebuah keluarga tidak mampu menyediakan pengangkutan untuk majlis pengebumian, beliau melabur dalam perkhidmatan menyediakan van jenazah, walaupun beliau bukan seorang Muslim, dan beliau juga pernah melabur dalam membangunkan perkhidmatan ambulans kepada golongan miskin.

Satu lagi sumbangan kebajikannya adalah pengenalan ‘Pasar 10 Sen’ yang dibangunkan beliau bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli barang tertentu dengan bayaran hanya 10 sen.

Apabila pandemik COVID-19 tercetus dan PKP bermula, Kuan yang menghidap penyakit kencing manis menjadi bertambah bersemangat mencari jalan bagaimana beliau dapat terus membantu mereka yang memerlukan pertolongan, tanpa menjejaskan kesihatan beliau sendiri dan penerima sumbangan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau akan memastikan semua bentuk bantuan termasuk bungkusan-bungkusan makanan disanitasi terlebih dahulu sebelum diagihkan.

Uncle Kentang berpandangan penting bagi rakyat Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu bagi mengelak bahana virus berbahaya itu.

“Bagaimanapun masih ada yang dilihat tidak memakai pelitup muka di tempat awam, sekali gus membawa risiko besar kepada orang lain. Saya juga lihat mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di restoran dan gerai,” katanya.

“Jika anda tidak sayangkan diri sendiri, bermakna anda juga tidak sayangkan keluarga anda,” tambahnya.

— BERNAMA

Sementara Ku Di Sini kisah hidup Uncle Kentang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker