Usaha Desak Pemilihan UMNO Segera Dijangka Gagal
Oleh Nurul Aisyah,
Desas desus bertiup kencang bahawa ada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membawa cadangan supaya pemilihan UMNO diadakan juga tahun ini.
Menurut sumber, seorang ahli MKT dikatakan akan membawa usul tersebut pada mesyuarat MKT UMNO yang akan berlangsung malam ini.
Bagaimanapun, Menurut sumber yang sama cadangan itu dijangka tidak mendapat sokongan majoriti ahli MKT. Ini kerana suasana pandemik Covid-19 akan menyukarkan untuk diadakan mesyuarat cawangan dan bahagian dalam masa terdekat. Apatah lagi untuk memenuhi korum yang ditetapkan.
Yang kedua, kata sumber tersebut lagi, sebahagian besar ahli MKT tidak mahu wujud perbalahan berterusan di kalangan pemimpin UMNO menjelang PRU yang dikatakan akan berlangsung tahun hadapan.
“Sekarang ini pun dah banyak berlaku perbalahan di kalangan pemimpin. Bayangkan kalau ada pemilihan, lagi teruk UMNO akan berkocak” katanya.
Sumber tersebut menegaskan beliau amat yakin usul ini akan ditolak atau pun tidak akan dibangkitkan langsung memandangkan ramai ahli MKT difahamkan kurang berminat dengan cadangan ini.