Toleransi LHDNM Semasa Pandemik

KESAN pandemik Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia sangat besar. Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Begitu ramai kehilangan sumber pendapatan, pekerjaan mahupun perniagaan disebabkan pandemik berbahaya tersebut.

Bagi Malaysia sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 dilapor beralih kepada kumpulan B40 akibat wabak Covid-19.

Berdasarkan laporan perangkaan, majoriti isi rumah di negara ini dilaporkan mengalami pengurangan pendapatan.

Kebanyakan isi rumah daripada kumpulan pendapatan lebih tinggi telah beralih kepada kumpulan pendapatan yang lebih rendah.

Semua negeri di Malaysia dilaporkan mencatatkan penurunan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

Begitulah betapa teruknya impak Covid-19 ibarat rakyat dan negara di seluruh dunia dilanda tsunami ekonomi.

Maka kita terima kasih kepada ramai pihak yang diketahui berusaha sedaya upaya membantu golongan terjejas.

Bantuan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan untuk meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik.

Bagaimanapun mungkin ramai kurang tahu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) turut memainkan peranan besar dalam membantu.

Walaupun ditugaskan mengutip hasil cukai bagi pihak kerajaan, namun aspek kemanusiaan dan tanggungjawab kepada rakyat tidak pernah diabaikan.

Berikutan impak maha dahsyat pandemik Covid-19, LHDNM telah memperkenalkan program penstrukturan baki cukai untuk pembayar cukai bermula Jun lalu.

Penstrukturan baki cukai itu adalah atas dasar LHDNM prihatin serta memahami pembayar cukai yang terkesan dengan situasi semasa.

Mereka yang mempunyai masalah melunaskan tunggakan cukai diminta hadir ke cawangan yang menguruskan fail mereka bagi perbincangan penstrukturan bayaran tunggakan cukai.

Kelonggaran itu bagi meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.

LHDNM malah mempertimbangkan penyemakan semula penalti dikenakan jika pembayar cukai mempunyai alasan kukuh

Proses permohonan juga dipermudahkan dengan janji temu untuk perbincangan tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui https://janjitemu.hasil.gov.my/.

Semakan baki yang perlu dibayar juga boleh dibuat melalui e-Lejar dan bayaran cukai pula menerusi ByrHasil yang boleh diakses dalam MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/.

Terima kasih LHDNM kerana cakna dan prihatin terhadap keadaan rakyat pada waktu-waktu sukar begini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker