Ismail Sabri janji lantik Mahathir pengerusi MPN tapi Muhyiddin “sailang”?

Oleh Nurul Aisyah

JAWATAN Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) rupa-rupanya menjadi idaman Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir juga. Baru-baru ini, Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir mendedahkan Dr Mahathir dijanjikan jawatan Pengerusi MPN, jika Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu tidak berlaku.

“Saya dimaklumkan apabila Ahli Parlimen Bera (Ismail) telah jumpa Ahli Parlimen Langkawi (Mahathir) sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri baru-baru ini, (beliau) telah dijanjikan MPN akan ditubuhkan sekiranya Bera menjadi Perdana Menteri dan Langkawi dilantik Pengerusinya, malangnya janji tak dikotakan,” katanya ketika membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat.

Muhkhriz menegaskan pihaknya tetap mahu mencadangkan Mahathir sebagai Pengerusi MPN.

“Adalah cadangan kami, Ahli Parlimen Langkawi (menjadi) Pengerusi MPN. Ini kerana, tiada kepentingan politik yang nak diletakkan, beliau sendiri umum akan letak jawatan Pengerusi PEJUANG, sekiranya dilantik Pengerusi MPN,” katanya.

Malahan, Mukhriz turut mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini “menciplak” idea Mahathir untuk menubuhkan MPN yang diteruskan pentadbiran Ismail.

“MPN dicadang oleh Langkawi sewaktu menghadap Agong sebelum ini, sejurus kemudian kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin umumkan kerajaan nak melakukan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tak apa, kita anggap mungkin ciplak idea, tapi asal niat membantu rakyat kita tidak halang.

“Kemudian Menteri Kewangan (ketika pentadbiran Muhyiddin) setelah jumpa Ahli Parlimen Langkawi bincang mengenai MPN, kemudian mengumumkan penubuhan MPN, tetapi melantik Pagoh (Muhyiddin) sebagai Pengerusi.”

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila kerajaan pimpinan Ismail mengekalkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN yang didakwanya gagal menguruskan krisis Covid-19 sebelum ini.

“Apa Pagoh boleh lakukan sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri, apabila sewaktu menjadi Perdana Menteri dengan kuasa darurat pun tidak mampu lakukan (tangani krisis Covid-19)?” soalnya.

Beliau berkata, ini berbeza dengan cadangan awal Mahathir bahawa MPN akan dibarisi pakar.

“Sebaliknya, kini kita dapati hanya 50% pakar dilantik dalam MPN, 25% adalah ahli politik kerajaan dan 25% daripada pembangkang,” katanya.

Perkara ini mula hangat dipersoalkan. Namun Ismail Sabri mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri. Beliau menegaskan yang pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas PM itu memegang jawatan tersebut sejak MPN ditubuhkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional.

Sekiranya jawatan ini menjadi rebutan diantara Dr Mahathir dan Muhyiddin, mungkin ada imbuhan tersembunyi yang kita tidak tahu. Bukan lagi rahsia, hanya perkara yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja akan menarik minat Dr Mahathir.

Walaubagaimana pun , ada benarnya, apa yang mampu Muhyiddin lakukan memandangkan sewaktu menjadi Perdana Menteri dengan kuasa darurat pun beliau tidak mampu tangani krisis Covid-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker