Khaby Lame : Kuasa lawak tanpa suara

Khaby Lame : Kuasa lawak tanpa suara

TANPA bercakap walau sepatah kata, Khabane Lame mampu menjadi bintang popular dengan mempunyai 105.8 juta pengikut di TikTok.

Salah satu video TikTok Khabane Lame atau lebih dikenali sebagai Khaby Lame adalah reaksinya terhadap aksi seseorang yang menggunakan gunting dengan cara sangat rumit untuk membuka kotak susu.

Lantas, Lame menunjukkan cara paling mudah untuk membuka kotak susu itu kemudian menuangnya di dalam gelas sambil tersenyum hambar pada kamera.

Sebenarnya apa yang dilakukan merupakan tindakan biasa ramai orang untuk membuka kotak susu setiap hari, tetapi video tersebut berjaya meraih tanda suka lebih daripada enam juta.

Itulah kehebatan Lame, 21, yang menjadi fenomena hanya dengan menampilkan semula solusi-solusi biasa kebanyakan manusia dalam kehidupan apabila sesetengah orang menjadikannya sukar menerusi penggunaan peralatan lain yang kononnya penuh inovasi.

Populariti yang diraih Lame itu menjadikan dirinya bintang TikTok kedua paling ramai pengikut.

Bintang TikTok No.1 dunia masih lagi dipegang oleh Charli D’Amelio yang mempunyai pengikut seramai 122.9 juta orang.

Lame menjadi terkenal dengan ekspresi muka lucu dan bersahaja, selain gaya signaturnya yang melihat ke arah kamera dengan pandangan sinis setiap kali memberikan jawapan mudah bagi sesuatu masalah.

Anak kelahiran Senegal yang dibesarkan Chivasso, Itali itu bukan sahaja glamor, bahkan kini turut bergelar jutawan hanya menerusi video-videonya.

Lelaki yang boleh dikatakan kurang kacak ini juga dicemburui kerana merupakan tunang kepada seorang gadis cantik, Zaira Nucci.

“Wajah dan ekspresi muka saya membuatkan semua orang di dunia tertawa.
“Saya berpendapat, ekspresi wajah ialah bahasa global,” katanya kepada The Times.

Populariti Lame meningkat begitu pantas.

Misalnya, pada Jun tahun lalu, dia mempunyai pengikut sekitar 65 juta orang di TikTok dan hanya dalam masa sebulan, pengikutnya sudah meningkat kepada 84 juta orang.

Menurut laman web analitik SocialBlade, kadar pengikut Lame pada ketika ini hampir lapan kali lebih cepat berbanding D’Amelio.

Lelaki itu mengumpulkan 37 juta pengikut baharu dalam masa 30 hari sehingga diramalkan bila-bila masa sahaja boleh mengatasi D’Amelio.

Menyoroti kemunculannya sebagai bintang media sosial, Lame mula aktif memuat naik video di TikTok sejak Mac tahun lalu setelah dirinya kehilangan kerja di sebuah kilang di utara Itali ekoran pandemik Covid-19.

Pada waktu itu juga, perintah berkurung atau lockdown dikuatkuasakan di Itali.

“Ketika itu saya kehilangan pekerjaan dan mengambil keputusan untuk membuat rakaman di dalam bilik tidur.

“Saya bersyukur dengan apa yang telah terjadi dan akan terus berpegang kepada idea asal iaitu untuk membuat orang lain tertawa,” ujar Lame.

Berbeza dengan pembuat video terkemuka dengan menggunakan kamera berkualiti, muzik-muzik indah dan pencahayaan yang baik, video Lame ringkas dan lebih realistik.

Tidak perlu melakukan tarian atau pergerakan yang menakjubkan, Lame kebiasaannya hanya duduk di hadapan kamera tanpa mempedulikan aspek pencahayaan atau membuat suntingan berlebihan, sebaliknya dia mengekalkan keaslian video itu.

Namanya semakin meledak baru-baru ini apabila para peminat membuat kompilasi berjudul Khaby Lame BEST TikToks dan Funniest Khabane Lame yang ditonton lebih 10 juta di Youtube.

Kini Lame dianggarkan mempunyai kekayaan sekitar AS$2 juta (RM8.43 juta).

Menurut Influencer Marketing Hub (via LadBible) iaitu laman web yang memantau pendapatan para pempengaruh atau influencer telah menganggarkan Lame memperoleh bayaran sekitar AS$50,461 hingga AS$84,102 (RM212,768 hingga RM354,616) untuk hanya satu hantaran video.


BIARPUN kini diulit kemewahan, Lame tetap menganggap dirinya seorang yang sederhana.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ia merupakan pencapaian yang sangat membanggakan yang mana dia mendapatkannya dalam masa yang cukup singkat.

“Saya berasa sangat berbesar hati dengan kejayaan ini yang direalisasikan oleh komuniti TikTok global.

“Saya bersemangat untuk menghiburkan serta membuat orang ketawa sejak kecil dan saya berterima kasih kepada TikTok yang menyediakan platform global untuk berkongsi minat saya ini kepada seluruh dunia,” katanya.

Biarpun kini kaya-raya, lelaki ini tetap menganggap dirinya sebagai seorang lelaki sederhana, mungkin kerana cara dia dibesarkan.

Menelusuri sejarah hidupnya, Lame dilahirkan di Senegal, tetapi keluarganya berhijrah ke Itali ketika dia berusia setahun.

Lame membesar di perumahan awam di sebuah bandar perindustrian kecil, Chivasso yang terletak di barat laut Milan.

Lame tinggal bersama ibu bapanya di sebuah pangsapuri kecil, malah dia juga berkongsi bilik tidur dengan abangnya.

Walaupun tidak membesar dengan kemewahan, tetapi dia tidak berasa kesal sebaliknya memberi pujian kepada tempat dirinya dibesarkan yang membuatkannya berjaya sekarang.

“Perumahan awam ini tempat saya berhutang segalanya. Ia mendidik saya dan mengizinkan saya untuk memupuk banyak ikatan persaudaraan,” katanya.

Tambahnya, dia tinggal di situ bersama tujuh orang ahli keluarga dan dia mempunyai saudara-mara yang besar di perumahan awam itu iaitu 40 orang.

“Sebelum ini. saya telah melakukan ribuan pekerjaan untuk mendapatkan duit seperti pelayan, pencuci tingkap dan buruh binaan.

“Akhirnya, saya mencuba nasib untuk bekerja kilang di Chivasso, tetapi pada tahun 2020 operasi kilang itu pula terpaksa ditutup kerana pandemik Covid-19 menular, sekali gus menjadi titik perubahan hidup saya,” katanya.

Imbasnya, selepas diberhentikan kerja, Lame banyak berada di dalam bilik dan mencipta video TikTok.

“Saya tidak mencari kemasyhuran ketika menghasilkan video itu. Saya berpegang kepada pepatah lakukan apa yang kita suka dan bekerja keras,” katanya.

Kini, Lame adalah pencipta kandungan sepenuh masa dan memperoleh kemasyhuran serta kekayaan pada masa sama.

Walaupun dikenali sebagai TikToker dari Itali, tetapi Lame tidak diiktiraf sebagai warganegara Itali meskipun membesar di situ sejak usia setahun kerana dilahirkan di Senegal.

“Saya tidak memerlukan sehelai kertas untuk mendefinisikan diri saya sebagai orang Itali. Saya tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana jauh di sudut hati, saya adalah rakyat Itali,” katanya.

Lame juga peminat bola sepak dan pasukan kegemarannya ialah Juventus FC.

Aktor, Eddie Murphy dan Will Smith inspirasi terbesarnya dan berharap dapat mencapai tahap berjenaka seperti mereka suatu hari nanti. K Online

Khaby Lame : Kuasa lawak tanpa suara

TMJ cari penyanyi lagu saduran Azman Naim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker