Inilah Politik berteraskan ‘Keluarga Malaysia’

SITUASI dan suasana politik sebelum pelantikan Perdana Menteri kesembilan membuatkan saya selalu teringat untaian ucapan lama Almarhum Tun Abdul Razak Hussein kepada semua ahli Parlimen Parti Perikatan (Alliance Party) sekitar tahun 1972.Frasa ‘kesedaran hakikat’ (new realism) selalu diungkap Almarhum pasca peristiwa 13 Mei 1969 dan usaha awal pembentukan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Pesan Tun Razak, andai boleh saya ringkaskan – “Mana-mana parti atau mana-mana kerjasama politik mesti mempunyai kesedaran hakikat, tidak bersandarkan kepada kekuatan dan keangkuhan lama.”

Berteraskan prinsip inilah seluruh kekuatan struktur politik mesti dihalakan ke arah membina kesepakatan luar biasa. Titah ingatan Yang di-Pertuan Agong bahawa ‘yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah tidak pula kalah semua’ wajar difahami melalui aspek tersebut.

Dinamik perbincangan dalam suasana ‘kekeluargaan’ membolehkan setiap isu dan masalah diselesaikan dengan baik serta berkesan. Tidak ada istilah mustahil apabila sesuatu masalah dan isu dibawa kepada ruang keluarga.

Tawaran dalam ucapan sulung Perdana Menteri adalah sesuatu yang ikhlas dan jujur. Kita semua, kalangan ahli Parlimen telah memberi janji dan iltizam langsung kepada Seri Paduka untuk membenih persekitaran politik serba baharu.

Rakyat mengimpikan binaan dan kerangka politik yang tidak terlalu terpisah atas dasar ideologi. Dalam kita berdepan cabaran pandemik, kita memerlukan kerangka politik yang sebenar-benarnya bersifat ‘nasional’ dan rentas kepartian.

Tidak ada salahnya andai semangat ‘kekeluargaan’ turut diterjemah dalam merealisasi beberapa keputusan dan strategi penting pada sidang Parlimen nanti. Kita berjeda sekejap daripada politik totok kepartian.

Barangkali ini manfaat yang benar-benar diingini rakyat. Pandemik dilihat melalui perspektif ‘kekeluargaan’ akan pastinya menginsafkan.

Wang bukan segalanya

Jutaan keluarga berdepan pelbagai kesukaran. Ribuan anak kecil menjadi yatim, malah piatu kerana Covid-19.

Entah berapa lagi jumlahnya yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Tanpa perspektif ‘keluarga’, apa kesan langsungnya kepada kita?

Faham dan amalan politik berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ mesti menjadi model baharu dalam masa terdekat.

Pendekatan ‘kembali kepada asas’ perlu terus mendahului kepentingan rakyat.

Terus terang majoriti rakyat cukup lega dengan keupayaan pimpinan parti-parti politik membuat buntelan keputusan untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Mengangkat dan menjulang semula kehormatan politik tidak semestinya berasaskan kesumat dendam dan arus kesombongan.

Percayalah, sebarang beza pandangan, khilaf tanggapan yang ada mampu kita selesaikan dalam semangat kerjasama politik yang luhur dan asli.

Bersangka baiklah sesama pemimpin parti.

Muafakat rundingan, wajar menjadi wasilah untuk menyusun semula kekuatan dan kewibawaan keluarga politik.

Jangan mencipta kesumat – atas landasan kekalahan dan kerisauan peribadi. Setuju, parti lebih besar daripada mana-mana individu.

Gunalah sifir yang sama untuk melihat kelemahan dan kekhilafan diri sendiri.

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada ALLAH.

Sesungguhnya dialah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”(Surah al-Anfal:61).

Kerangka politik wajar menjadi ruang yang memuliakan persahabatan dan kerjasama.

Tidak meninggalkan sahabat ketika susah. Tidak mensabotaj watan kerana hati menjadi rentan.

Tidak menghina dan memperkecilkan peranan yang boleh diisi oleh teman-teman di denai politik yang berlainan.

Aturan ALLAH SWT ini seharusnya mengajar kita untuk lebih berhemah, bertawadduk dan rendah diri dengan kuasa.

Wang dan harta bukan segala-galanya. Dalam politik, akhlak dan peribadi mulia jua yang menjadi akar tunjangnya.

Kekuatan ‘kerjasama politik’ mesti dibina segera kerana kita tidak punya banyak masa.

Kita tidak boleh lagi cempala mulut, mengulangi permainan ‘politik persepsi’ dengan menyindir dan mencemuh kerajaan kerana dendam politik. Hari ini, kita perlu bersama memandu adicita negara.

Tempoh mendatang ini mesti diisi dengan abstraksi demokrasi yang positif dan mengubat luka politik yang dalam.

Rakyat menginginkan parameter politik yang lebih terbuka, yang lebih baharu dan mendahulukan kepentingan mereka. Ucapan awal YAB Perdana Menteri sudah membuka denai siyasah yang dimaksudkan.

Ini masa paling sesuai kita membuktikan diri sebagai pengamal politik yang matang.

Kita tidak wajar mengaci-aci diri sebagai demokrat tulen, pendokong kedaulatan dan keabsahan Perlembagaan – andai menolak jalur perdamaian yang cuba dihulurkan.

Ini masa dan waktu paling wajar, untuk kita memberikan seluas-luas ‘harapan’ kepada rakyat.

Sesungguhnya tidak ada absolutisme dalam politik. Yang ada dan wajar diperkukuh ialah fikrah persahabatan dan keikhlasan menyelesaikan keresahan dan kegusaran rakyat terbanyak.

Selari dengan nawaitu ‘Keluarga besar Malaysia’, kita semua ada tanggungjawab untuk membuka landskap politik yang serba baru dan positif.

Apa sahaja kesempatan yang ada, wajar digunakan untuk merangka polisi dan dasar yang memenuhi impian dan keinginan rakyat.

* Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ialah Ahli Parlimen Kepala Batas dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

 


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

100 hari bermula sekarang – Najib

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker