Pintu depan ditutup, tetapi pintu belakang dibuka

Oleh Nurul Aisyah

PANDEMIK Covid19 memberi kesan yang sangat besar terhadap rakyat Malaysia. Salah percaturan akan mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban. Malaysia adalah negara yang tergolong dalam kelompok paling tinggi kematian akibat Covid-19. Malah, Brought In Dead (BID) atau meninggal dunia di luar hospital sebab tidak sempat menerima rawatan juga sangat tinggi di Malaysia.

Dalam hantaran di Facebook Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam, beliau menyenaraikan lima kegagalan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu dalam mengendalikan Covid-19, yang katanya, harus dijadikan “sempadan” oleh kerajaan baru.

Kluster kilang merupakan antara isu yang menaikkan kemarahan rakyat berkenaan kegagalan dalam soal memastikan tiada percanggahan polisi dalam memerangi wabak Covid-19.

“Pintu depan ditutup, tetapi pintu belakang dibuka dalam pentadbiran kerajaan PN berlaku secara nyata. Nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan pakar kesihatan diambil mudah demi memenuhi tuntutan kroni dan ‘monetary’,” kata Zahid lagi.

Sikap berat sebelah dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) seperti tindakan menutup sektor kurang berisiko dan membenarkan sektor penyumbang kluster tertinggi beroperasi menyebabkan kadar covid naik secara mendadak.

Ungkapan ‘tutup pintu depan’ juga pernah dahulu digunakan Ismail Sabri Yaakob ketika mengepalai kementerian pertahanan kerajaan PN, mengundang spekulasi warganet bahawa ia dikatakan ditujukan buat Mohamed Azmin Ali, yang ketika itu menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang mengeluarkan surat kebenaran operasi untuk perniagaan.

Untuk makluman, Azmin Ali membidas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan kluster kilang menjadi penyumbang utama peningkatan kes Covid-19.

Beliau kemudian bangkit menjawab terhadap dakwaan Presiden PKR itu dengan menyatakan sektor kilang bukan punca kes Covid-19.

“Saya ada statistik yang jelas menunjukkan kes positif melibatkan sektor hanya melibatkan jumlah kecil,” katanya untuk menjawab dakwaan Anwar dalam Sidang Khas Parlimen tersebut. Anwar selaku Ketua Pembangkang mendakwa kluster kilang dan industri menjadi punca peningkatan kes Covid-19.

Walaupun Azmin berulang kali cuba menafikan kluster kilang antara penyumbang tertinggi Covid19 namun rakyat faham bahawa kluster tersebut merupakan faktor  memberi kesan domino yang akhinya menyebabkan kes naik dengan terlalu mendadak.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker