Muhyiddin gagal tapi mahu jadi Menteri Mentor?
Oleh Nurul Aisyah
KEGAGALAN kerajaan Muhyiddin mendorong rakyat desak beliau mengundurkan diri. Menyedari perkara ini Ahli Parlimen membawa suara rakyat dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin yang akhirnya tercetus peletakan jawatan Perdana Menteri ke 8 itu.
Individu dalam parti Bersatu dikatakan mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewujudkan jawatan Menteri Mentor dalam kerajaan baharu untuk Muhyiddin Yassin. Perkara tersebut dilihat sebagai sangat tidak relevan.
Bagaimana seorang PM yang gagal mahu jadi mentor kepada PM yang baharu. Seolah-olah ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Mustahil seorang yang gagal mampu mencipta kejayaan kepada individu yang lain.
Muhyiddin gagal menangani pandemik Covid 19. Malah ekonomi negara merudum dengan sangat teruk.
Dari segi kadar kes baharu. kematian baharu dan kes aktif Covid berbanding saiz penduduk, kita masih antara paling tinggi dalam dunia sejak dua bulan lalu.
Bulan Februari lalu, syarikat penarafan kredit antarabangsa Fitch potong unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2021 dari 10% ke 4.9% sebab keadaan Covid mula teruk. Baru-baru ini, mereka potong sekali lagi terus ke 0% (sifar) sebab usaha kerajaan buat Muhyiddin buat “lockdown” paling panjang dalam dunia tidak berjaya kawal Covid serta peratusan vaksinasi kita yang masih rendah berbanding negara-negara lain.
Sebaliknya, negara jiran Singapura naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2021 mereka dari 4% ke 7% beberapa minggu yang lalu.
Untuk makluman, Singapura mengambil Menteri Mentor dalam kalangan bekas perdana menterinya yang sudah lama berkhidmat dan memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang. Pelantikan Menteri Mentor Singapura dibuat dengan matlamat khas. Bukannya sekadar lantikan kerana terhutang budi atau untuk mengisi ‘kerusi’ semata-mata. Menteri Mentor merupakan perjawatan di Singapura ekoran rombakan Kabinet dan Kuan Yew, menjadi satu-satunya individu memegang tanggungjawab itu selepas berundur daripada jawatannya selepas 34 tahun.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, memetik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, Muhyiddin dicadangkan dilantik sebagai Menteri Mentor dalam kerajaan jika mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berpandangan, beliau akur jika pucuk pimpinan tertinggi dan rakan parti komponen kerajaan bersetuju akan pelantikan Muhyiddin sebagai penasihat dalam kerajaan.
Ironinya Bersatu mahu PM 8 yang gagal menjadi Menteri Mentor pula. Mungkinkah ismail sabri akan jadi “Bapa Copy Paste” kerajaan PN?
You must be logged in to post a comment.