Kedai Percuma Pak Nil bantu mangsa banjir

Kedai Percuma Pak Nil bantu mangsa banjir

Sejak era pandemik sehinggalah musibah banjir, kerja kemanusiaan bukan sahaja dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah golongan selebriti tidak ketinggalan menghulur tangan.

Ini termasuklah selebriti popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang tidur tidak nyenyak memikirkan mangsa banjir, baru-baru ini.

Dimulakan usaha mengumpul sukarelawan untuk misi banjir bagi membantu penduduk sekitar Bukit Canggang, Banting, Selangor dalam membina semula hidup baharu dan menyalurkan bantuan.

Ia juga menyebabkan tercetus idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.

Pak Nil berkata, kedai percuma ditempatkan di kawasan Bukit Canggang itu diwujudkan pada 30 Disember lalu.

“Sebelum ini, saya dihubungi pengikut dalam Instagram (IG) berkongsi sisi cerita mengenai kemusnahan kawasan berkenaan akibat banjir.

“Jadi, ketika menjejaki kawasan ini, saya melihat ramai penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan tinggal sehelai sepinggang,” katanya kepada BH Online.

Penyandang 10 kali kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sejak 2003 itu berkata, dia menyedari kawasan berkenaan terpinggir daripada pandangan ramai menyebabkan bantuan daripada orang ramai dan NGO agak berkurangan.

“Saya memulakan langkah menyediakan makanan dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan dikutip di kalangan pengikut media sosial. Saya berjaya menyediakan hampir 1,000 bungkusan makanan sehari kepada mangsa banjir. Selepas banjir surut, mereka bergerak pulang ke rumah masing-masing.

“Ketika itu, saya tinjau dan amati penduduk kampung terpaksa mengumpul semula barangan dan membaik pulih rumah. Lebih menyedihkan, tiada barangan keperluan asas. Daripada situ, saya fikir kenapa tidak wujudkan kedai percuma,” katanya.

Buat permulaan, penyanyi lagu Apo menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

“Mereka bermurah hati menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

“Timbul juga idea mengumpul membeli barang keperluan asas menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan menggunakan duit sumbangan diterima.

“Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.

Jelas Pak Nil lagi, mangsa banjir boleh ke kedai berkenaan mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka.

“Saya mengalu-alukan barang keperluan yang boleh dihantar terus ke Kedai Percuma Pak Nil sana atau menyalurkan sumbangan berbentuk wang ringgit.

“Jadi, saya bolehlah saya menambah barang keperluan asas ini. Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan wang ringgit boleh ke akaun IG saya untuk menyemak butiran nombor akaun bank.

“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai, NGO, pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Sementara itu, mengulas kerja misi kemanusiaan, Pak Nil berkata, air matanya berjuraian tanpa diduga.

“Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga melalui ujian ini. Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh. Saya perlu melakukan sesuatu bagi membantu mereka membina hidup kembali,” katanya.

Terdahulu, Pak Nil menggunakan akaun media sosial seperti IG dan TikTok untuk mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.

“Rakyat Malaysia sangat pemurah. Hari pertama umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan diterima sungguh luar biasa.

“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana disalurkan ini diagihkan kepada wakil di sana. Walaupun tidak banyak diterima setiap mangsa, namun sekurang-kurangnya mereka tahu seluruh negara turut bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.

“Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini,” katanya.

Pak Nil percaya dengan kuasa media sosial termasuk pengaruh dan kedudukan mampu mengajak orang ramai berganding bahu membantu mangsa banjir.

“Niat dan matlamat saya meringankan beban mangsa banjir. Bahkan, ini juga masa terbaik untuk rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, agama, bangsa dan latar belakang. Hari ini hari mereka. Siapa tahu esok lusa hari kita pula?” kata Aznil yang juga pengasas Yayasan Pesona dalam nada sayu. BH

Kedai Percuma Pak Nil bantu mangsa banjir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aliff Syukri gila publisiti tapi realitinya lain

Janggut suami Heliza jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker