Mata terendah Bursa Malaysia dalam 9 bulan

Sebaran :

Mata terendah Bursa Malaysia dalam 9 bulan

Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia jatuh ke paras bawah 1,500 mata buat pertama kali sejak hampir sembilan bulan semalam.

Indeks tersebut jatuh 18.33 mata apabila ditutup pada 1,494.60 mata semalam berbanding 1,512.93 mata hari sebelumnya.

Kali terakhir indeks tersebut mencatat mata bawah 1,500 adalah pada 4 November lalu pada 1,464.61 mata.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Bursa Malaysia akan sentiasa mengalami impak negatif setiap kali berlakunya krisis politik.

Kata beliau, situasi sama dapat dilihat pada tahun lalu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung pada September apabila indeks FBM KLCI jatuh daripada 1,600 mata pada akhir Julai kepada 1,500 pada Oktober.

“Kali ini, selain daripada krisis politik, negara juga dalam krisis pandemik yang masih serius apabila kadar jangkitan masih tinggi pada kira-kira 17,000 jangkitan sehari.

“Ia menyebabkan negara sukar beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekali gus melambatkan lagi pemulihan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, faktor kemerosotan indeks FBM KLCI ialah situasi pandemik yang dilihat semakin teruk berikutan ancaman varian Delta Covid-19 yang lebih mudah merebak.

Kata beliau, kaunter yang dilihat menarik ketika ini ialah kaunter sarung tangan getah kerana peningkatan kes global Covid-19 memberi prospek yang positif terhadap permintaan sarung tangan getah dunia sementara kaunter teknologi juga dilihat baik disebabkan permintaan komponen semikonduktor dijangka terus kekal tinggi.

“Kaunter yang kurang digemari pelabur pada masa ini ialah kaunter minyak dan gas kerana peningkatan terbaharu kes Covid-19 sedunia memberi gambaran bahawa permintaan minyak sedunia tidak akan meningkat akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan di beberapa buah negara,” katanya.

Menurut Adam, indeks tersebut mempunyai potensi untuk naik minggu hadapan setelah kejatuhan hari ini menyebabkan sesetengah pelabur memburu keuntungan pada awal minggu hadapan.

“Namun, semuanya bergantung kepada bagaimana pelabur menganalisis keadaan politik semasa negara minggu hadapan,” katanya. Utusan

Mata terendah Bursa Malaysia dalam 9 bulan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buktikan sokongan majoriti di Parlimen jalan terakhir PM


Sebaran :

Leave a Reply