Kes kematian di rumah (BID) akan meningkat

Kes kematian di rumah (BID) akan meningkat

Kes BID akan meningkat jika lebih ramai kuarantin di rumah, kata doktor

Seorang doktor sukarelawan di pusat penilaian Covid-19 (CAC) di ibu negara berkata, keputusan kerajaan membenarkan pesakit bergejala ringan dan tidak bergejala di Lembah Klang menjalani kuarantin di rumah hanya akan menyebabkan angka kematian sebelum tiba ke hospital (BID) meningkat.

Beliau yang enggan dinamakan itu berkata, dengan varian Delta yang mula menyerang negara ketika ini, ramai pesakit Covid-19 mengalami “happy hypoxia” yang mana mereka tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

“Kita dapati dengan varian baharu ini, kes mati di rumah akibat Covid-19 semakin ramai. Walaupun pesakit itu nampak OK, tetapi ramai yang dikesan meninggal dunia dalam tidur. ‘Hypoxia’ ini boleh dianggap sebagai pembunuh senyap.

“Malah, varian baharu ini menyebabkan angka kematian dalam kalangan mereka yang tiada sebarang komorbiditi atau golongan lebih muda meningkat,” katanya kepada FMT.

Katanya, arahan supaya pesakit Kategori 1 dan Kategori 2 menjalani kuarantin di rumah seharusnya diperhalusi kerana bukan semua mampu memiliki alat oksimeter nadi untuk memantau kadar oksigen dalam badan.

“Bila CAC penuh, kerajaan kata, pesakit Kategori 3 dan ke atas saja datang buat saringan. Kami jadi lagi takut sebab yang datang dah teruk dan kebanyakannya, bila dah sampai hospital, perlu ‘intubate’ atau ditidurkan untuk (diberikan) bantuan oksigen,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan seharusnya menambah bilangan CAC berdasarkan nisbah trend semasa kes Covid-19.

“Dulu, kita hanya catat kes bawah 5,000 dengan kurang 20 CAC di Lembah Klang, namun baru-baru ini Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan lapan lagi CAC di Selangor, menjadikan jumlah keseluruhannya 27 pusat.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi kerana di Lembah Klang sahaja lebih 8,000 kes dilaporkan sehari,” katanya.

Berdasarkan laporan KKM, bermula 15 Julai sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 264 kes kematian BID direkodkan di negara ini.

Bagi tempoh sama, Selangor mencatatkan kematian BID tertinggi iaitu 122 kes berbanding negeri lain.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum ini berkata, setiap hari kes BID dalam kalangan golongan muda berusia bawah 30 tahun menunjukkan peningkatan.

Selain mutasi varian Delta, antara punca lain kes BID meningkat dipercayai disebabkan peningkatan jangkitan dalam komuniti serta kes sporadik.

Dalam pada itu, doktor sukarelawan itu turut mendedahkan, CAC terbabit, yang pada awalnya hanya dapat menampung sehingga 1,500 pesakit pada satu-satu masa, kini terpaksa merawat lebih 4,000 pesakit sehari.

Tambahnya, kemudahan tong oksigen yang tidak mencukupi adalah cabaran utama petugas di sana dalam merawat pesakit.

“Kita terpaksa olah tiub oksigen daripada hanya dapat digunakan seorang kepada empat atau lima tiub,” katanya lagi.

Pada 26 Julai, KKM memutuskan para pesakit Covid-19 bergejala ringan dan tidak bergejala di Lembah Klang tidak perlu ke CAC, susulan penubuhan CAC maya.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong yang mengetuai Pasukan Petugas Khas Lembah Klang berkata, pesakit dalam kategori itu perlu menjalani kuarantin di rumah dan pengawasan jarak jauh.

CAC pada awalnya ditubuhkan untuk menilai pesakit Covid-19, sama ada mereka perlu menjalani kuarantin di rumah, dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau menerima rawatan di hospital.

Tetapi, dengan adanya CAC maya, mereka tidak perlu keluar rumah dan hanya perlu mematuhi garis panduan disediakan. FMT

Kes kematian di rumah (BID) akan meningkat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buktikan sokongan majoriti di Parlimen jalan terakhir PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker