Kerajaan interim boleh pulih ketegangan jika PM hilang majoriti

Kerajaan interim boleh pulih ketegangan jika PM hilang majoriti. Kerajaan sementara boleh berfungsi memulihkan ketegangan politik negara, namun perlu berlandaskan proses yang betul.

Penganalisis Sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, cadangan penubuhan kerajaan sementara hanya boleh direalisasikan sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah disahkan hilang majoriti di Parlimen.

Menurutnya, kerajaan sementara boleh berfungsi memulihkan ketegangan politik negara, namun proses atau tatacara perlu bermatlamatkan untuk kestabilan politik, menangani pandemik Covid-19 dengan lebih baik dan memulihkan ekonomi negara sementara menunggu pembubaran Parlimen.

“Jika ada pihak parti atau wakil parti tertentu menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa kerajaan tiada majoriti dan mencadangkan kerajaan interim, maka ia akan membawa kepada pembentukan kerajaan interim.

“Yang di-Pertuan Agong kemudian akan memanggil Muhyiddin untuk minta beliau buktikan sokongan di Parlimen terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Awang Azman menjelaskan, calon perdana menteri sementara melibatkan ahli kabinet daripada pelbagai parti perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, namun tidak melebihi 15 orang termasuk teknokrat.

 

Awang Azman
Awang Azman

“Individu yang dilantik sebagai perdana menteri interim pula perlu dilihat sebagai tokoh yang dihormati dan diterima oleh semua pihak tanpa mengira ideologi politik.

“Malah perlu ada perjanjian bahawa perdana menteri interim selama enam bulan itu tidak akan menjadi calon perdana menteri selepas pilihan raya umum,” ujar Awang Azman.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub pula berpendapat perkembangan baharu politik tanah air tidak memerlukan perubahan kerajaan baharu atau pengambilalihan kerajaan interim kerana kerajaan pada hari ini masih lagi mempunyai keabsahan dan majoriti untuk meneruskan pentadbirannya.

Ujarnya, ketegangan yang berlaku hanya telah mencalarkan imej kerajaan akibat kekhilafan dan ia boleh diperbetulkan menerusi permohonan ampun kepada Yang di-Pertuan Agong dengan kadar segera bagi menjernihkan keadaan.

“Namun sekiranya terdapat ahli-ahli kabinet yang mahu bertanggungjawab mengenai kekhilafan tersebut, tindakan berkenaan boleh mengembalikan penghormatan rakyat dan pelbagai pihak lain di negara ini.

“Pelbagai pilihan yang ada pada hari ini seperti memohon ampun daripada Yang di-Pertuan Agong, mengaku khilaf, bertanggungjawab terhadap khilaf dengan berehat sebagai ahli kabinet dan merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” kata beliau.

 

Dr Mohammad Tawfiq
Dr Mohammad Tawfiq
Kerajaan interim boleh pulih ketegangan jika PM hilang majoriti

Ekonomi politik di Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker