SPRM tidak terlepas undang-undang

Negara memerlukan sebuah badan pencegahan rasuah dan salah guna kuasa yang berwibawa, berintegriti, berakauntabiliti dan berani. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melalui pelbagai proses transformasi sejak ia ditubuhkan. Proses penambahbaikan berterusan khususnya mewujudkan badan-badan bebas di dalam dan di luar Parlimen untuk menjalankan proses semak dan imbang terhadap SPRM berjaya menaikkan imej suruhanjaya itu sebagai sebuah badan bebas dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan atau parti politik.

Dalam memastikan SPRM menjalankan kuasa mereka selaras prinsip kedaulatan undang-undang, undang-undang yang mengawal selia SPRM amat jelas dalam hal-ehwal penyiasatan, kewajipan am dan khas serta ruang lingkup bidang kuasa suruhanjaya itu sendiri.

SPRM tidak boleh lari daripada pemantauan mahkamah bagi setiap tindakan yang diambil. Lantas, SPRM juga tertakluk kepada semakan kehakiman dan tindakan penguatkuasaan mereka juga tertakluk pemerhatian mahkamah dari aspek undang-undang substantif dan undang-undang prosedur.



Apabila Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan wujud pendakwaan terpilih serta SPRM dijadikan alat oleh kerajaan, ia perlu dilihat dengan lebih kritikal. Berdasarkan kedudukan dan struktur SPRM, beberapa karakter yang dimiliki oleh SPRM menafikan wujud elemen pendakwaan terpilih atau pun SPRM diperalatkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Pertama, SPRM berdiri sebagai sebuah badan bebas yang tidak ada agenda politik dalam menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin atau tokoh tertentu. Undang-undang kawal selia SPRM amat jelas memastikan ia sebuah badan yang tidak terikat kepada mana-mana kepentingan.

Kedua, daripada senarai kes-kes berprofil tinggi dibawa oleh SPRM, jelas terbukti tokoh-tokoh politik dari kedua-dua pihak, pembangkang dan kerajaan telah disiasat semasa dalam tempoh parti mereka memerintah. Antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Dr, Xavier Jayakumar dan Lim Guan Eng.

Ketiga, kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan pertuduhan tidak diambil secara sembrono dan terburu-buru. Misalnya, kes terhadap Lim Guan Eng berkaitan projek terowong di Pulau Pinang mengambil masa tiga tahun bermula 2017 dan dituduh di mahkamah pada tahun lalu.



Keempat, fungsi pendakwaan SPRM masih lagi tertakluk kepada keputusan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara. Difahamkan, kes-kes hanya akan dibawa ke mahkamah jika terdapat lebih 90 peratus kemungkinan sabitan di mana bukti yang diperlukan mencukupi serta proses penyiasatan yang profesional dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata.

Kelima, wujud sistem semak dan imbang yang mantap antara tugas siasatan dibuat oleh SPRM dan tugas pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara. SPRM hanya terbatas kepada penyiasatan, manakala pendakwaan terletak di tangan Pejabat Peguam Negara berdasarkan kepada kertas siasatan yang diberikan oleh SPRM. Itulah pengasingan kuasa yang negara kita amalkan.

NIAT BURUK

Keenam, SPRM dipantau oleh lima badan bebas yang terdiri daripada ahli-ahli profesional, akademik, perniagaan dan industri serta mereka yang terkenal, berintegriti dan dihormati dalam masyarakat.



Ketujuh, undang-undang negara memastikan sesiapa pun yang menghadapi pertuduhan rasuah berhak mempertahankan diri di mahkamah dan tidak seharusnya menuduh SPRM mempunyai agenda politik. Malah, mereka yang dituduh boleh menzahirkan apa-apa bukti di mahkamah untuk menunjukkan SPRM mempunyai niat buruk (mala fide) dan tidak suci hati dalam mendakwa mereka.

Kelapan, sekiranya disabitkan, mempunyai ruang untuk merayu di mahkamah yang lebih tinggi. Proses keadilan yang wujud di negara ini ternyata berwibawa, adil, saksama dan amat diyakini oleh semua. Tiada siapa akan teraniaya dalam sistem keadilan yang mementingkan akauntabiliti, integriti serta sistem semak dan imbang yang jelas.

Dalam konteks mewujudkan suasana dan amalan integriti yang tinggi dan juga sebuah negara yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa, SPRM akan sentiasa melalui proses penambahbaikan berterusan untuk memastikan ia teguh sebagai benteng penghalang kepada apa jua bentuk penyelewengan di negara ini.

Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod ialah Pensyarah di Jabatan Undang-Undang Sivil, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).



SPRM tidak terlepas undang-undang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Gagal Raih Mata Tertinggi, Pandelela Sebut ‘Babi’ (Video)



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker