Idea kerajaan perpaduan Shahidan tak disokong Umno

Dato Sri Shahidan Kassim

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa menganggap cadangan pembentukan kerajaan perpaduan membabitkan Bersatu dan pembangkang adalah pandangan peribadi Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

Menurut Annuar, tiada sesiapa dalam kalangan pemimpin Muafakat Nasional atau BN menyokong cadangan Shahidan itu.

Untuk rekod, Muafakat Nasional adalah gabungan Umno dan PAS.

Menurut ahli parlimen Ketereh itu yang menjadi masalah sekarang bukanlah mengenai perpaduan, sebaliknya kepercayaan rakyat.

“Rakyat tetap akan menolak mana-mana kerajaan yang zalim, berbohong, tak tunai janji, tidak berprestasi atau bersekongkol dengan musuh agama dan bangsa,” ciapnya malam tadi.

Terdahulu pada 22 Nov Shahidan mencadangkan supaya Dr Mahathir membentuk “kerajaan perpaduan” bersama pembangkang sekiranya ingin terus menguasai Putrajaya.

“Saya sokong kalau Tun (Dr Mahathir) mahukan sebuah kerajaan yang kuat, pilih kalangan orang yang layak (termasuk pembangkang), kerajaan perpaduan.

“Rakyat bukan benci menteri, tapi kerajaan. Ini masa untuk mengajak pembangkang bersama (dalam kabinet),” kata bekas menteri besar Perlis itu kepada Malaysiakini.

Shahidan juga berkata Dr Mahathir antara perdana menteri yang baik namun dikelilingi menteri yang tidak baik.

Cadangan tersebut dibuat Shahidan susulan kekalahan PH di Tanjung Piai pada 16 Nov lalu dan menyaksikan calon pembangkang, Wee Jeck Seng, memenangi kerusi parlimen tersebut dengan majoriti lebih 15,000 undi.

Awal bulan lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Dr Mahathir – yang juga merupakan pengerusi Bersatu – menubuhkan kerajaan baru bersama kerjasama BN dan PAS.

Annuar juga menyenaraikan lagi alasan mengapa BN dan Muafakat Nasional enggan membentuk kerajaan perpaduan – idea yang sebelum ini pernah diutarakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Kata Annuar, rakyat juga enggan bersama dengan pihak yang berjanji palsu, zalim, rasis, anti-Islam, liberal dan sosialis dan komunis.

Untuk rekod kenyataan seumpama itu juga pernah diucapkan Abdul Hadi.

Malah ahli parlimen Marang itu juga pernah menganggap langkah mewajibkan ahli parlimen mengisytiharkan harta sebagai mencontohi idelogi komunis dan sosialis.

Mkini

Adik Shahidan Kassim kembali kepada UMNO

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker