Rakyat perlu bantuan, bukan ditambah beban hutang

Rakyat perlu bantuan, bukan ditambah beban hutang

Rakyat perlu bantuan, bukan ditambah beban

PADA 23 Jun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan Sektor Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang yang berdaftar untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 berkuat kuasa serta-merta. Keputusan berkenaan dibuat hasil Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Keputusan ini mengundang respons pelbagai pihak. Bagi syarikat-syarikat Kredit Komuniti, sudah pasti mereka boleh menarik nafas lega untuk beroperasi dan memberikan tawaran pinjaman kepada peminjam yang memerlukan. Namun begitu, ramai juga yang tidak bersetuju dengan pembukaan operasi syarikat pinjaman ini kerana ia menambah lagi beban rakyat yang sudah sedia tersepit.

Ada juga yang menyifatkan pembukaan operasi syarikat-syarikat tersebut adalah salah satu penyelesaian masalah secara jangka pendek, bahkan ia akan memerangkap dan menjerat rakyat apabila bermasalah untuk membayar kembali hutang mereka. Beberapa hari lalu, Zuraida tampil menjelaskan bahawa kebenaran ke pada syarikat-syarikat Kredit Komuniti beroperasi adalah kerana kerajaan mahu melindungi peminjam terutamanya peminjam kecil yang tiada tempat untuk meminjam.

Tambahnya di Kredit Komuniti, peminjam dilindungi undang-undang, berbeza keadaan apabila meminjam dengan along yang boleh membahayakan mereka. Bahkan, syarikat kredit komuniti (KK) yang dikenal pasti bertindak sebagai along ketika berurusan dengan pelanggannya, akan berhadapan dengan tindakan tegas termasuk penarikan lesen operasi.

Tinjauan umum penulis secara dalam talian terhadap beberapa syarikat Kredit Komuniti mendapati kebanyakannya menawarkan pinjaman konvensional berunsurkan riba yang diharamkan oleh agama Islam. Menariknya, terdapat juga beberapa syarikat Kredit Komuniti yang sudah menawarkan pinjaman patuh syariah, antaranya Yayasan Ihsan Rakyat, AEON Credit dan Yayasan Dewan Perniagaan Melayu Perlis Berhad.

Sewajarnya bagi mereka yang beragama Islam dan ingin meminjam, terlebih dahulu mengenal pasti syarikat-syarikat yang menawarkan pinjaman patuh syariah agar tidak terjebak dengan elemen riba. Penulis berpandangan, tawaran pinjaman melalui syarikat Kredit Komuniti bukanlah idea yang menarik dan efektif di kala rakyat dibelenggu dengan kehilangan pekerjaan, kehilangan pendapatan, penutupan premis perniagaan dan juga syarikat yang lingkup, bahkan semakin ramai yang mengangkat bendera putih memohon bantuan.

Berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan yang ada, inisiatif demi inisiatif bantuan dan kemudahan oleh kerajaan termasuk lanjutan moratorium wajar dipuji walaupun ia dilihat hanya dapat membantu rakyat dalam jangka masa pendek. Padahal, pandemik ini dijangka berlangsung lebih lama, begitu juga dengan derita rakyat jelata. Beberapa penyelesaian tuntas, segera dan praktikal yang tidak membebankan rakyat wajar dipertimbangkan kerajaan.

Pertama, inisiatif bakul makanan bersasar secara bulanan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. Inisiatif ini juga termasuk bantuan susu dan lampin bagi bayi dan kanak-kanak. Inisiatif bantuan seperti ini penting bagi memastikan rakyat tidak ada yang kelaparan sekali gus mengalami stres dan kemurungan akibat tidak cukup makanan untuk diri dan keluarga.

Kedua, kerajaan memerlukan strategi yang jelas bagi menangani pandemik Covid-19 selain mempercepatkan vaksinasi. Pengumuman Pelan Pemulihan Negara dilihat hanya sekadar kerangka umum dan tidak memberikan langkah serta strategi yang jelas bagaimana untuk menanganinya. Fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara pula wajar dilaksanakan di peringkat negeri agar ia dapat memulihkan sektor-sektor ekonomi secara berperingkat di sesetengah negeri yang berkurangnya kes Covid-19.

Dua langkah sebagai penyelesaian praktikal ini sewajarnya mendapat perhatian kerajaan bagi memastikan pandemik dapat dibendung, ekonomi negara dapat dipulihkan seterusnya perut rakyat terjaga dan kesihatan mental mereka terpelihara. Selain itu, pujian juga wajar diberikan atas usaha-usaha pelbagai pihak seperti kerajaan negeri, majlis agama, badan zakat serta wakil rakyat, NGO, masjid, surau, sebilangan syarikat serta individu yang mengambil cakna dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Tahniah rakyat Malaysia yang prihatin. Kita jaga kita!

Mohammad Hafizuddin Abdul MuktiPegawai Penerangan dan PerhubunganPertubuhan IKRAM Malaysia

Rakyat perlu bantuan, bukan ditambah beban hutang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zarina Anjoulie nak saman pegawai polis wanita

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker