Bantu segera, sebelum ramai bunuh diri

Bantu segera, sebelum ramai bunuh diri

Bantu segera, bukan berlengah hingga ramai bunuh diri – Asyraf

Kerajaan perlu menyantuni rakyat sambil memahami denyut nadi mereka yang terkesan dengan sekatan demi sekatan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga masuk Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan tidak perlu berlengah menyampaikan bantuan kewangan kepada rakyat yang saban hari tertekan akibat hilang pendapatan dan pekerjaan.

“Ini benda-benda yang rakyat bukan cakap kosong, kita kena santuni, dengar, baca dan fahami apa yang rakyat rasa, ini perkara sebenar, takkan nak tunggu sampai ramai lagi membunuh diri.

“Betullah kita sebagai orang Islam, kita kena menasihati orang jangan sampai ke arah itu tetapi dalam Islam ada prinsip saddul zariah atau pun kita tutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada kemudaratan,” katanya ketika ditemubual dalam Skop MG secara langsung di Facebook MalaysiaGazette malam ini.

Asyraf Wajdi juga membidas sikap kerajaan yang tidak menggunakan tempoh darurat untuk membantu rakyat sebaliknya dilihat lebih kepada melindungi kelangsungan politik parti pemerintah.

“Apa contohnya, inilah kerajaan boleh buat (i-sinar 2.0 dan i-lestari 2.0), bukan tak boleh buat dan apa yang kita cadangkan perkara yang praktikal.

“Bank faham terma-terma yang saya gunakan tadi, cuma mahu atau tidak, gunalah kuasa yang ada untuk bantu rakyat, bukan guna kuasa untuk kekal berkuasa dari segi politik semata-mata,” katanya.

Asyraf juga melahirkan rasa kesal apabila kerajaan hari ini didakwanya lebih gemar untuk menukar nama berbanding meneruskan inisiatif yang baik bagi membantu rakyat yang terkesan semasa PKP 1.0 pada Mac lalu.

“Sebab itu kami mencadangkan lanjutkan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0, tak payah tukar nama, kerajaan hari ini, dia suka tukar nama dari PKP kepada PPN, sebenarnya natijah dan kesannya sama saja, i-Citra macam itu juga.

“Rakyat ramai yang mengadu, dalam akaun 2 ini sudah berkurangan, tak ada sangat dah, itu yang digunakan untuk bayar rumah dan sebagainya.

“Mereka mohon janganlah bagi RM1,000 bulan depan sebaliknya bagi terus, kalau betul ambil RM5,000 sebab terbukti dalam PKP 1.0 bila selepas kita desak,” katanya.

Katanya lagi, i-Sinar wajar diteruskan kerana ia berjaya membantu ramai yang kehilangan pekerjaan untuk memulakan perniagaan dan memberi kehidupan baharu kepada rakyat terjejas.

“Apabila rakyat dapat sahaja i-Sinar, saya bagi contoh satu kes seorang pilot yang bergaji besar tetapi dibuang kerja, nak memulakan perniagaan, bila dapat i-Sinar RM10,000 itulah yang digunakan sebagai modal.

“Itulah yang dapat membina kehidupan yang baharu malah banyak kes lain sebenarnya mendapat manfaat daripada ini.

“Cuma bila masuk PKP 2.0 lepas itu PKP 3.0 kononnya total lockdown perniagaan mereka ini hancur lebur, bila hancur lebur, ada bebanan, ada kekangan, ada tanggungan yang bertambah,” katanya lagi. MG

Bantu segera, sebelum ramai bunuh diri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pegawai Adun Templer dari Amanah halau wanita minta bakul makanan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker