Pucuk pimpinan di ambang pertukaran?

Sebaran :

Pucuk pimpinan di ambang pertukaran?

Penarikan sokongan dua Ahli Parlimen Umno terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Januari menimbulkan kerisauan terhadap
kejatuhan pentadbiran Perikatan Nasional, namun pengisytiharan darurat menutup spekulasi itu.

Kini, terdapat khabar angin yang bertiup mengenai beberapa perubahan kuasa yang bakal berlaku.

Selepas hampir enam bulan sejak darurat diisytiharkan pada 12 Januari, persoalan kembali timbul sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Dengan keadaan darurat yang masih berterusan, persidangan semula Parlimen masih kelihatan jauh.

Raja-raja Melayu menzahirkan pandangan bahawa tidak ada keperluan untuk melanjutkan darurat dan Parlimen harus bersidang semula.

Pemerhati melihat pandangan itu sebagai maklum balas terhadap situasi Covid-19 yang semakin buruk selain mewakili permintaan rakyat yang melalui keadaan ekonomi yang semakin goyah.

Muhyiddin berkata Parlimen boleh bersidang semula menjelang September atau Oktober sekiranya kes jangkitan berada di bawah paras 2,000 namun laungan untuk mengembalikan demokrasi semakin kuat dan sebahagian mereka di dalam kerajaan percaya kuasa eksekutif tidak akan menutup telinga.

Sudah ada desas-desus di mengatakan bahawa Muhyiddin akan menyerahkan kuasa kepada Hishammuddin Hussein, seorang pemimpin Umno yang dilihat sebagai ‘jambatan’ antara partinya dan Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Walaupun ‘tidur sekatil’ dengan kerajaan, kebencian antara dua parti berteraskan orang Melayu itu bukan lagi satu rahsia.

Ada segelintir yang percaya pelantikan Hishammuddin sebagai perdana menteri boleh memberi sedikit masa kepada kerajaan dan penangguhan oleh Umno, sebagai salah satu pengkritik terbesar kerajaan.

Namun, ia masih kekal sebagai salah satu daripada khabar angin yang tersebar di luar sana.

Sejak bulan lalu, beberapa nama menjadi sebutan bermula daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim hingga veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah namun spekulasi itu sering berubah-ubah.

Pada masa sama, terdapat cakap-cakap di kalangan pihak atasan dalam pentadbiran itu sendiri.

Salah seorang kakitangan kanan kerajaan memberitahu FMT, terdapat sebahagian daripada mereka diminta ‘bersedia’ dengan perubahan dalam kepimpinan.

“Pada mulanya, ia hanya khabar angin dan rasa curiga, dan kini angin semakin bertiup kencang,” kata sumber yang tidak mahu didedahkan identiti.

Sumber memberitahu bahawa semalam, lebih ramai pegawai atasan dimaklumkan dengan kemungkinan berlaku perubahan itu sebelum menyampaikan maklumat terbabit kepada pegawai lain.

Menurutnya, spekulasi semakin kuat apabila Pejabat Perdana Menteri memberitahu Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.

“Kami berharap beliau dalam keadaan baik. Tetapi situasi politik di negara ini perlu diselesaikan kerana ia menjejaskan perkhidmatan awam,” kata sumber itu.

Seorang lagi pegawai atasan berkata, dia juga mendengar cakap-cakap itu tetapi hanya menganggapnya sebagai ‘khabar angin semata-mata’.

Dalam apa saja keadaan, kakitangan awam itu berkata, mereka bersedia dengan apa saja perubahan dan hanya mahu melaksanakan tugas di bawah sebuah kerajaan yang berfungsi. FMT

Pucuk pimpinan di ambang pertukaran?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Hotel Istana to close its doors in September


Sebaran :

Leave a Reply