Kerajaan tolong lihat rakyat cari rezeki tepi jalan

Gambar Hiasan

 

Kerajaan tolong lihat rakyat cari rezeki tepi jalan. Puluhan ribu rak­yat dan syarikat perhotelan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini menjadikan bahu-bahu jalan sebagai lokasi untuk berniaga.

Mereka berbuat demikian un­­­tuk mencari sumber pen­da­patan bagi meneruskan ke­lang­sungan hidup ma­nakala syarikat perniagaan teruta­ma­nya peng­usaha hotel turut mengambil langkah yang sama untuk memastikan dapat membiayai kos bagi memboleh­kan beroperasi semasa PKP.

Di PULAU PINANG, bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Ro­yal Penang, Husniza Hussain berkata, pihaknya mengambil inisiatif membuka gerai jualan makanan dan minuman di pekarangan ba­ngunan hotel itu.

Katanya, tindakan yang diambil pengurusan hotel empat bintang itu demi menjaga kebajikan 98 pekerja dan kelangsungan operasinya.

Tambahnya, meskipun me­nunya adalah air tangan chef terkemuka, harga yang ditawarkan di gerai itu dijual serendah RM3 hingga RM5i.

“Kami juga menawarkan menu makan tengah hari bermula RM8 hingga RM10 pada pukul 12 tengah hari sehingga 2.30 petang,” katanya di sini semalam.

Menurut Husniza, langkah membuka gerai termasuk pandu lalu di pekarangan hotel pernah dilakukan Februari lalu dan mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, antara menu yang dijual ialah kuih-muih, kuetiau goreng, mi goreng, sandwich, bihun goreng serta teh tarik.

“Kami juga mempunyai hidangan sarapan yang mendapat sambutan iaitu nasi lemak yang dijual pada harga RM3,” katanya.

Tambahnya, pihak hotel juga membuka tempahan bagi mereka yang mahu menyumbang makanan kepada golongan memerlukan dengan harga ditawarkan termasuk caj penghantaran RM5 sahaja.

Bukan sahaja pengusaha hotel yang turun ke tepi jalan untuk menambah pendapatan, peniaga kecil juga terpaksa mengubah strategi perniagaan mereka dalam mencari rezeki.

Di KELANTAN, demi kelangsungan hidup, sekumpulan belia menjual minuman dan makanan ringan di persimpa­ngan lampu isyarat di Kota Bharu biarpun berdepan risiko disaman kerana menyalahi undang-undang.

Kumpulan penjaja itu gigih berdiri di tengah cuaca panas terik sambil menggalas bakul berisi makanan dan minuman untuk dijual kepada pengguna jalan raya.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Khor, 20, dan berniaga air balang memberitahu, dia berasa gerun juga untuk berniaga di tepi jalan selepas ramai penjaja jalanan disaman polis atas kesalahan mengganggu lalu lintas.

“Namun kalau tidak buat kerja ini, mana saya nak cari duit. Banyak tempat saya pergi untuk meminta kerja namun semua tidak ada kerja kosong. Kalau boleh, mereka mahu buang pekerja, bukan tambah pekerja,” kata bekas pelajar Diploma Pengurusan Logistik di sebuah kolej di Selangor itu.

Di PERAK, seorang peniaga minyak wangi dan kosmetik yang selama ini berniaga di pasar malam, menggunakan pengalaman itu termasuk sebagai pembantu gerai untuk memulakan perniagaan menjual bihun sup dan laksa tetapi secara khidmat penghantaran tunai (COD) untuk menyara keluarganya.

Mohd. Faizi Mohd. Raid, 35, berkata, idea menjual bihun sup COD itu diperoleh ketika dia buntu memikirkan keluarganya selepas tidak dapat berniaga di pasar pagi dan malam ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, dia kemudiannya menggunakan pengalamannya bekerja sebagai pembantu jualan bihun sup di pasar malam selama sembilan tahun sebagai rezeki baharu untuk dirinya.

“Saya berbincang dengan isteri dan mulakan perniagaan COD bihun sup minggu lalu dengan membuka tempahan secara atas talian melalui Facebook dan WhatsApp,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bendang Kering, Sayong, di sini, semalam. – UTUSAN

Kerajaan tolong lihat rakyat cari rezeki tepi jalan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

Najwan maklumkan ada sesuatu yang tidak kena dalam AMK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker