Tak salah PU Azman berlakon
Tak salah PU Azman berlakon
Tak salah ustaz jadi pelakon’ – PU Azman
Pendakwah bebas yang kini bergelar pelakon, PU Azman menepis kritikan negatif yang mendakwa pembabitannya dalam dunia lakonan bertentangan dengan norma hidup seorang ustaz.
PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias berkata, selagi tidak membawakan watak bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukanlah suatu perkara salah.
“Ada yang bertanya kenapa dan tujuan saya dalam dunia lakonan? Saya bukan kata nak berlakon kerana mahu berdakwah semata-mata, tetapi antara faktor lain, saya memang meminati dunia lakonan.
“Sejak kecil, saya minta dunia seni, cuma pendidikan saya lebih ke arah agama. Jadi, lebih baik saya memekakkan telinga, tetapi dalam masa sama, menerima kritikan dengan terbuka.
“Sebab ‘haters’ berada di mana-mana. Kita kena tahu, dakwah boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan tidak adil untuk membina persepsi industri ini ‘hitam’ kerana ramai juga artis yang berhijrah.
“Saya tidak melihat industri seni daripada sudut pandangan negatif. Kita sendiri yang perlu pilih untuk menilai apa yang dibawa, jika dapat naskhah dan skrip yang memberikan nilai baik kepada masyarakat, maka perkara baiklah kita beri kepada masyarakat,” katanya BH Online.
Pelakon yang mula meraih perhatian menerusi watak Cik Muiz dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan itu berkata, dia percaya pembabitannya dalam bidang seni secara tak langsung memecahkan jurang antara artis dan ustaz.
“Ini kerana saya perhatikan ramai rakan artis bertanyakan soalan agama kepada saya. Jadi secara halus, dari situ dapat membina hubungan dan memecahkan jurang yang ada,” katanya.
PU Azman yang juga aktif sebagai pengacara dan pakar motivasi itu turut menepis tanggapan pendapatan dalam dunia hiburan tidak berkat.
“Keberkatan adalah urusan Allah. Apabila seseorang terbabit dengan dunia lakonan, banyak sudut yang perlu dilihat. Misalnya, dia dibayar melakonkan sesuatu yang haram. Contohnya, sebelum ini berhijab, tetapi apabila diminta melakonkan sesuatu watak bertentangan, kemudiannya menerima bayaran, itu perkara salah.
“Bagaimanapun, jika seseorang pelakon memang tidak bertudung, berlakon demi menjalankan tugas sebagai pelakon dan melakukan perkara yang tidak dilarang agama, itu tidak menjadi masalah.
“Banyak sudut yang kita kena tengok, tidak boleh hanya nak nilai dari satu sudut sahaja,” katanya yang selesa dengan panggilan Cik Man.
PU Azman menjawab persoalan mengenai pembabitan sebagai pelakon ketika ditemui pada sesi mempromosikan sitkom pertamanya, Bujang Tampan Selamba, baru-baru ini.
Mengulas mengenai sitkom yang dijayakan bersama Hafidz Roshdi dan Bell Ngasri bersiaran di TV9 setiap Rabu, PU Azman berkata, dia teruja apabila kali pertama diberi peluang menjayakan sitkom.
“Ini kali pertama saya bergabung dengan Hafidz dan Bell. Memandangkan, mereka lebih senior dalam bidang lakonan, saya teruja dapat menimba pengalaman dengan mereka.
“Tidak kiralah mereka muda atau tua, saya tidak kisah untuk belajar dengan mereka. Ini kerana saya memang minat berlakon, jadi apabila akhirnya ada peluang, saya tidak berkira-kira mahu mencuba, lagipun naskhah ini santai dan ringan.
“Tambah pula, saya memang suka bercakap, jadi watak membebel membuatkan saya lebih selesa,” katanya.
PU Azman berjinak dalam dunia lakonan sejak 2011. Pada awal pembabitannya, anak kelahiran Negeri Sembilan itu sering menghidupkan watak ustaz dan kini, mahu keluar dari watak klise.
Disebabkan itu, PU Azman bersyukur diberikan tawaran menjayakan sitkom Bujang Tampan Selamba, sesuatu yang segar dan baru buatnya.
Bagi pengacara program Jabatan Netizen itu, dia memandang serius kerjaya sebagai pelakon, bagaimanapun hanya akan menerima tawaran diberikan sahaja.
“Saya takkan ke hadapan untuk mengetengahkan diri. Saya bukan jenis yang bertanya sama ada tawaran atau tidak.
“Saya segan, tetapi apabila diberikan tawaran, saya seronok dan insya-Allah terbuka untuk menerimanya. Saya memang berniat untuk serius dalam dunia seni,” katanya. BH
Baca Artikel Menarik :
- Polis terima laporan berhubung surat palsu Hishammuddin
- RESEPI KUIH LAPIS BERGEDIK SUKATAN CAWAN
- Terkhilaf keluar Amanah, Hasnul minta maaf
- RM20,000 sehari jual durian waktu PKP
- JKom dibayar lawan pembangkang, bukan saya – Najib
- Siti Elizad mandul? Kau cuit salah orang
Layari Laman Facebook MYKMU