PKP 3.0 disambung dua minggu lagi?


PKP 3.0 disambung dua minggu lagi?

Suasana lengang dan sunyi pada hari pertama Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau total lockdown di sekitar Kuala Lumpur pada 1 Jun lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

ANALISIS

SAMA ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyeluruh yang akan berakhir pada Isnin ini disambung atau tidak, menjadi topik perbincangan dalam media-media sosial. Pelbagai pandangan dan reaksi dizahirkan, ada yang mahu disambung dan ada pula yang kata, sudah penat.

Yang mahu sambung, mereka melihat harapan tipis untuk mengharapkan ia tidak sambung kerana kes masih lagi tinggi. Semalam kes baharu ialah 5,841 kes dengan jumlah kematian 84 kes, bagaimanapun kes sembuh turut mencatatkan peningkatan dengan 5,411 kes.

Bagi yang tidak mahu lagi PKP 3.0 disambung, mereka kata ‘sudah penat’. Penat berkurung dalam rumah, tidak boleh ke mana-mana dan ‘penat’ melihat kes baharu tidak stabil, sekejap naik, sekejap turun – paling mereka tidak selesa apabila kluster tempat kerja termasuk kilang masih menjadi penyumbang tersebut.

Semalam daripada 30 kluster, 20 daripadanya melibatkan tempat kerja. Pada masa kadar kebolehjangkitan kini 0.98. Justeru tidak banyak harapan disandarkan bahawa PKP 3.0 akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun begitu bagi pihak kerajaan, kalaulah PKP 3.0 terpaksa disambung dua minggu lagi, sudah pasti ia dilakukan mengambil kira segala aspek dengan meletakkan kepentingan nyawa rakyat sebagai keutamaan.

Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya beralih ke fasa 2 PPN atau melonggar segala-galanya termasuk membenarkan rentas daerah dan negeri untuk popular.

Ia memandangkan kes Covid-19 masih lagi dianggap tinggi dan tidak berada paras di bawah 4,000 kes. Sehingga kelmarin terdapat 61,162 kes aktif, 869 dirawat di ICU termasuk 438 perlu bantuan pernafasan.

Mungkin keputusan kerajaan (jika PKP 3.0 disambung) tidak akan popular dan akan menimbul kemarahan rakyat tetapi hakikatnya kerajaan tidak ada pilihan, selagi kes masih tinggi.

Tetapi apa yang menimbulkan perasaan tidak puas hati orang ramai ialah kluster tempat kerja yang majoritinya melibatkan sektor perkilangan. Daripada 20 kluster tempat kerja semalam 13 daripadanya adalah daripada sektor tersebut.

Justeru dalam media sosial, kerajaan menjadi sasaran kecaman, ramai mempertikaikan kenapa kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terus membenarkan sektor perkilangan beroperasi jika ia terbukti menjadi penyumbang kepada peningkatan kes.

Bagaimanapun kluster tempat kerja bukan hanya sektor pekilangan, turut menyumbang kepada peningkatan kes ialah syarikat perkhidmatan dan pasar raya serta ladang.
Tetapi apa yang penting ialah penguatkuasaan tegas ke atas sektor perkilangan ini.

MITI perlu faham seandainya PKP 3.0 disambung lagi dan kemudian kes melibatkan sektor perkilangan terus meningkat, kementerian itu harus memberi jawapan kepada rakyat. Hakikatnya rakyat sudah penat apabila melihat statistik kes baharu terus meningkat kerana sektor perkilangan, kesudahannya kerajaan yang menjadi sasaran.

Apapun kerajaan tidak duduk diam, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta CIDB terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP. Dari 1 Jun hingga 18 Jun lalu, 160 kilang dan premis perniagaan diarah tutup.

Pada masa sama, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat,. Kelmarin jumlah pemberian dos vaksin harian mencatatkan rekod tertinggi dengan 250,000 dos dan setakat 23 un jaumlah pemberian vaksin sudah mencecah 6.55 juta dos.

Semua ini petanda bahawa kita berada di landasan yang betul untuk melangkah ke fasa 2 PPN tetapi bukan minggu depan. Penulis percaya, kita perlu bersabar sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Inshaallah, kita akan melangkah ke Fasa 2, kalau sektor tempat kerja khususnya perkilangan dan tapak binaan tidak degil, kalau semua orang mematuhi SOP dan program PICK terus mencatatkan pemberian dos yang tingg.

Penulis yakin ramai rakyat sudah tidak sabar lagi untuk ‘bebas’ daripada PKP 3.0 menyeluruh ini namun selain ia bergantung kepada kita, harapan juga disandarkan agar tidak ada mana-mana kementerian menyebabkan usaha kerajaan memerangi Covid-19 ibarat ‘mengangkut air dalam penapis santan’. Utv
Oleh Zulkiflee Bakar

PKP 3.0 disambung dua minggu lagi?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


RM20,000 sehari jual durian waktu PKP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker