Amanat Hadi 2.0? Harap-harap tak


Amanat Hadi 2.0
Amanat Hadi 2.0? Harap-harap tak

Betulkah fatwa yang mengharamkan apa yang dikenali sebagai “Amanat Hadi” sudah lesap? Dikeluarkan daripada laman rasmi sesawang JAKIM seperti yang “dikhuatiri”?

Perlu saya memetik laporan FMT tempoh hari sebelum berbicara lanjut. FMT pada 21 Jun melaporkan tangkap layar seorang pengguna Twitter (tentunya tular) bertanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengenai fatwa Amanat Hadi. Lebih tepat lagi status fatwa berkenaan.

“Apakah benar @MyJakim telah memadamkan fatwa Amanat Hadi yang telah difatwa haram pada 2002?” soal si pemegang akaun Twitter. “Jangan permainkan hukum sebab politik,” kata beliau lagi.

Menurut FMT, carian yang dilakukannya di laman web semakan fatwa Sumber Maklumat Al-ahkam al-Fiqhiyyah (E-SMAF) mendapati tiada rekod berkaitan fatwa itu dipaparkan.

Laman kelolaan JAKIM itu, kata FMT, berfungsi merakam fatwa dari seluruh negeri, mengelaskannya mengikut kategori dan merekodkan statusnya sama ada diwartakan atau tidak.

FMT menghubungi Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad dan Ketua Pengarah Jakim Abdul Aziz Jusoh berhubung status fatwa Amanat Hadi serta dakwaan JAKIM telah memadamkannya daripada laman web rasminya.

Sehingga artikel ini ditulis belum ada maklum balas mereka. Cuma yang memberi respon kepada FMT ialah pegawai Unit Komunikasi JAKIM yang memberitahu “nanti saya semak”. Belum ada perkembangan lanjut akan semakan yang dijalankan.

“Amanat Hadi” kita tahu merujuk kepada sedutan ucapan yang disampaikan pada satu ceramah oleh Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol, Peradong di Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Hadi, ketika itu, pemimpin PAS yang sedang mengukir nama dan terkenal dengan ucapannya yang “berapi”.

Di tahun-tahun berikutnya Hadi dilapor menegaskan beliau tidak melabelkan ucapan itu sebagai amanatnya. Beliau percaya label itu diberi oleh “pihak lain”. Hadi bagaimanapun tidak menghuraikan siapa “pihak lain” yang dimaksudkan – sama ada ahli PAS, penyokongnya sendiri, atau pihak luar parti.

Apa pun sedutan ucapan beliau yang dikenali sebagai “Amanat Hadi” sememangnya kontroversial.

Menerusi ucapannya, beliau menyeru ahli PAS “percayalah” perjuangan menentang Umno dan BN kerana “dia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang undang kafir, dan peraturan jahiliah”.

Dan Hadi juga mahu ahli PAS “percayalah” bahawa perjuangan mereka adalah “jihad” dan “kalau kita mati melawan puak-puak ini mati kita adalah syahid”.

Beliau juga mengingatkan “kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku”.

Perlu dikatakan apa yang dipetik ini adalah sebahagian daripada ucapan “Amanat Hadi” yang dicetak dan dijadikan poster dan ditampal di merata tempat khususnya di pantai timur Semenanjung.

Amanat Hadi dikatakan mencetus isu “kafir-mengkafir”, juga isu “dua imam” di mana ahli PAS tidak mahu bersembahyang mengikut imam yang menjadi ahli Umno. Mereka juga enggan menghadiri majlis kenduri yang diadakan oleh ahli parti lawan dan bermacam lagi. Dilaporkan juga masalah suami isteri turut terjadi. Itu semua dikatakan berlaku di Kelantan, Terengganu, dan di beberapa daerah di Kedah.

Pada 21 November 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan “Amanat Hadi” bertentangan dengan Islam.

Berbalik laporan FMT 21 Jun lalu. Menurutnya, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik berkata oleh sebuah akhbar pada 2018 bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah melaksanakan tugas apabila mengisytiharkan Amanat Hadi sebagai sesat.

Asri dilapor berkata beliau percaya amanat itu memainkan peranan menyebabkan perpecahan umat Islam dan juga tragedi berdarah Memali pada 1985.

Kenyataan atau dakwaan seperti itu ditolak oleh Hadi dan penyokongnya. Meski pun begitu, persoalan terhadap “Amanat Hadi” terus timbul tetapi tidak mendapat penjelasan terperinci.

Misalnya, pada satu wawancara anjuran akhbar Sinar Harian kira-kira dua tahun lalu, Hadi memberi jawapan agak samar ketika diaju persoalan mengenai “Amanat Hadi” dan isu kafir-mengkafir oleh wartawan veteran Johan Jaafar. Itu sekadar satu contoh.

Isu itu turut dirujuk dalam buku “Islam, Politics and Youth in Malaysia: The pop-Islamist Reinvention of PAS” ditulis Dominik M Muller, seorang professor Jerman.

Pada muka surat 23, tercatat wawancara penulis dengan Hadi pada 2010 iaitu hampir 30 tahun setelah “Amanat Hadi” terbit.

Kata Muller, presiden PAS itu “gelak” sambil mengakui pada zaman mudanya, beliau “darah panas” dan “radikal dalam percakapannya”, yang secocok dengan “semangat pemuda”. Tiada salah itu semua, kata Hadi tetapi ia perlu dikawal oleh pihak yang lebih tua.

Pada wawancara itu, Hadi menegaskan PAS sendiri tidak boleh “mengisytiharkan” siapa kafir siapa bukan. Sebaliknya hanya boleh memberi penerangan secara “theological” mengenai “character” atau watak sebenar agama Islam membabitkan aqidah dan juga mengenai kufur, jahiliyah, dan dosa.

Beberapa hari lalu, Hadi menerusi catatan di media sosial melabel Pakatan Harapan sebagai “melampau terhadap Islam” dan menurut Malaysiakini “tampil mengharamkan orang ramai bersama gabungan tersebut”.

Hadi dipetik berkata (adalah) “haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi”.

Sudah tentu ‘amanat’ presiden itu mendapat sokongan luas dalam kalangan ahli PAS. Tetapi mujurlah tidak ada penyokong atau sesiapa yang mengangkat kata-kata beliau itu untuk dijadikan “Amanat Hadi 2.0”. Setakat ini.

Dalam pada itu, eloklah Menteri Agama dan JAKIM percepatkan apa-apa pun yang mereka sedang semak terhadap status “Amanat Hadi” dan umumkan sama ada benar atau tidak fatwa mengenainya dipadamkan daripada laman web JAKIM. FMT
Oleh Mohsin Abdullah

Amanat Hadi 2.0? Harap-harap tak


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Aliff Syukri derita rindu berbelanja di Pavillion

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker