Pelan bergolek sampai mampus

Pelan bergolek sampai mampus
Pelan bergolek sampai mampus

Oleh Faisal Tehrani

Dalam mitos Greek, ada kisah seorang raja yang zalim, suka berkendak berbini dan tamak haloba yang namanya Sisyphus atau Sisyphos. Baginda adalah pengasas dan rajanya negeri Ephyra (juga dikenal sebagai Corinth).

Raja ini dihukum para Dewa Greek yang ramai itu, lantaran menipu (dua kali), dengan cara yang amat kasar; iaitu mendorong sebuah batu yang besar ke puncak bukit. Hukum sains menjelaskan kepada kita, batu yang ditolak ke puncak dengan kudrat dan susah payah yang luar biasa itu apabila sampai ke atas akan, pastinya kembali bergolek ke bawah melindas raja yang bebal ini.



Oleh kerana perbuatan jahat yang tidak diampuni Dewata, Sisyphus dititah mengulangi perbuatannya itu berulang-ulang secara abadi, buat selama-lamanya. Perlakuan bangang ini dinamai Sisyphean.

Perlakuan Sisyphean ini adalah apa sahaja yang dilakukan berulang kali yang hasilnya sama, tapi kerana bodoh, tetap diulang lagi tanpa sebab-musabab kukuh.

Diulang sampai mampus.

Dalam kehidupan kita, akan ditemui orang yang membuat perkara sia-sia begini berulang kali tanpa ada hasil. Pun, ia masih dilakukan juga. Mengapa? Kerana ada orang yang memang tidak cerdik, dan akan terperangkap begitu. Kita akan menemukan orang yang mengulang berhutang besar, meskipun telah berjaya menyelesaikannya. Dan akan berjumpa dengan orang yang berulang melanggar SOP misalnya, walaupun pernah menjadi punca penyebaran wabak Covid-19. Kita akan terserempak dalam hidup, kawan kita yang tetap suka dibangang, dianiaya dan dikhianati teman lelaki, malah memilih untuk mengahwininya. Kerana orang tersebut terjerat dalam derita itu tanpa menyedarinya.

Berapa banyak pun rasa kasihan kita kepada Haji Sisyphus (nama sebenar yang digunakan untuk urusan “legal” – Sisyphos) tidak mengubah nasibnya. Nah bayangkan, kita ada seorang pemimpin begini. Yang tahu apa yang ia lakukan itu tidak ada apa-apa hasil dan pengertian, tetapi kekal mengulangnya sampai mati. Tidakkah celaka umat yang dipimpinnya?



Pun kita boleh bertanya umat kepada si Sisyphos (nama sebenar) ini, adakah kalian akan mengikut di belakang Haji Sisyphus ini untuk menolak batu besar ke puncak bukit supaya dapat bergolek ke tanah datar, di mana dalam proses jatuh ke bawah itu, kalian akan sama-sama terlenyek, terhempap, terlindas, terlumat, terhempap, tertimpa, tersepit dan tersardin.

Kemudian, apabila pemimpin kalian sang raja terhukum, Haji Sisyphus, menzahirkan untuk kembali menolak beramai-ramai batu ke atas lagi; kalian pun tanpa banyak soal dan tanpa mengeluh merungut kekal bagai bodoh untuk melakukan lagi dan lagi dan lagi dan lagi. Abang Jamil tertawa di atas, menolak batu itu agar kembali bergulir ke bawah.

Demikianlah ada sesetengah keadaan orang suka membiarkan dirinya musnah ditonyoh-tonyoh batu.

Tidak ada yang ingin mempersoalkan, kerana mereka tidak nampak kebodohan ini.

Barangkali juga mereka sudah sedar mereka bodoh mengikut belakang buntut Haji Sisyphus, tetapi kerana setia dan tidak sampai hati Haji Sisyphus terbodoh seorang, maka mereka memutuskan untuk ikut bodoh bersama-sama.



Maka demikianlah batu itu ditolak, mereka ditindas, berkudrat mengerjakan kerja susah menahan batu ke atas puncak, jatuh lagi, dan dibuat lagi. Sebab kesetiaan itu sangat penting dari sakitnya dihenyak berkali-kali. Sisyphus itu tuan guru. Sisyphus itu bosku.

Tentulah ini hukuman yang amat perit. Demikianlah ada bangsa dan umat yang memang membiarkan dirinya untuk diazab begini.

Apakah jalan keluar (exit strategy) untuk kerja gila ini? A. Boleh sahaja ditinggalkan Haji Sisyphus itu menggila seorang diri. Untuk apa kita membuntutinya? Kalau dia ingin bodoh sendiri, biarkan. Jangan kita ikut sekali. Jangan dikasihani kegilaannya.

Sebab dia memang memilih perlakuan yang keji ini. B. Jika umat tidak sampai hati dan sayang sangat akan Haji Sisyphus, maka umat boleh kekal bergolek sama dengannya beberapa fasa sampai kiamat.



Satu lagi jalan keluar ialah mendapatkan pemimpin lain daripada Haji Sisyphus. Ini kerana baginda ternyata tidak dapat berfikir jernih. Pada 1988, dalam satu wawancara antara Dewan Budaya dengan sarjana ulung Prof Syed Hussein Alatas, Allahyarham ada memberikan “exit strategy” untuk kerja gila yang dilakukan sesetengah orang. Kalau dalam konteks negara, kerja gila sesebuah pentadbiran atau Kabinet.

Menurut Syed Hussein, dalam umat Melayu, ada satu hal yang sungguh perit.

Yang menurut saya, boleh dinamai ehwal Sisyphean. Bilamana kebiasaan menganalisa dan berfikir itu tiada. Apa yang dinamai kebiasaan tradisi ini adalah tradisi feudal.

Syed Hussein secara perit mengkritik sekolah yang tidak menggalakkan unsur berfikir, malah universiti yang tiada unsur berfikir. Hal ini ada benarnya, berapa ramai pensyarah dan maha guru yang membawa kita keluar dari Sisyphean ini? Jika para intelektual tidak dapat menyarankan jalan keluar, mungkin disandarkan kepada pemimpin.

Nah, bagaimana kalau pemimpin politik memang jahanam, iaitu mereka sendiri al-Sisyphus? Bagaimana jika pemimpin itu tiada kebiasaan atau tidak mampu menganalisa dan tidak dapat berfikir. Ini lebih teruk dari Sisyphus.



Syed Hussein menggesa supaya ada yang segera memecah kebuntuan dengan menabrak atau memutuskan lingkaran setan ini. Kata beliau dalam Dewan Budaya, Jun 1988: “Untuk memecahkan lingkaran ini, satu-satunya jalan ialah beberapa orang tampil ke muka berusaha dan mengambil peranan itu. Siapa sahaja boleh mengambil peranan ini, tanpa memandang kedudukan, tanpa memandang harta, tanpa memandang apa-apa.”

Dalam keadaan pemimpin sendiri ikut menjadi walauntat dan walauntit Sisyphus, apakah yang boleh dilakukan? Sayugia diingatkan Syed Hussein juga memberi satu pesan yang penting untuk keluar dari lingkaran yang sama ini. Kata gemulah cendekiawan ini: “Kalau dalam masyarakat semua orang tidur (baca tidak sedar membuntut Sisyphus) siapakah yang akan menggerakkan kita?’

Syed Hussein menyatakan begini: “Dalam keadaan semuanya tidur, tidak ada pemimpin. Siapa saja yang sedar dulu.”

Ayuh, kita yang sudah segar, lekas-lekas menjagakan pengikut Sisyphus yang belum sedar. Jangan dibiar diri dalam pelan bergolekan sampai mampus.



Pelan bergolek sampai mampus



Pelan pemulihan hanya lengahkan masa sebelum gelombang baru tercetus

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker