ASTRO: Berihsanlah Dengan Pelanggan

Sebaran :

ASTRO: Berihsanlah Dengan Pelanggan

ASTRO: Berihsanlah Dengan Pelanggan

Sukar untuk saya mempercayai tup-tup, tak ada angin, tak ada ribut, Astro melalui invoisnya memaklumkan bahawa mulai bulan Jun 2021 yuran langganan saya dinaikkan kepada RM195 sebulan.

Sebelum itu, langganan saya adalah sebanyak RM188.70 sebulan seperti yang tertera dalam invois di atas.

Ini bermakna caj bulanan dinaikkan sebanyak RM6.30 sebulan atau RM75.60 setahun. Itu saya seorang.

Bayangkan kalau satu juta pelanggan kena pelekuh macam saya, senang-senang Astro akan memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM6.3 juta sebulan. Setahun? Kira sendirilah!

ASTRO: Berihsanlah Dengan Pelanggan

Bagi Astro kenaikan tersebut mungkin tidak banyak tetapi bagi para pelanggannya yang tertekan kerana terpaksa berkurung di rumah masa PKP 3.0 Fasa 1, atau kehilangan pendapatan akibat dibuang kerja, kenaikan itu tentulah satu beban yang berat untuk dipikul.

Sepatutnya sepanjang tempoh sukar ini, Astro menawarkan moratorium terhadap caj bulanan yang dikenakan kepada para pelanggannya.

Atau lebih baik kalau Astro mengecualikan sebarang bayaran langganan masa PKP 3.0 ini. Tontonlah Astro secara percuma.

Barulah terserlah imej Astro sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan tahu menghargai pelanggannya yang setia dengan perkhidmatan yang ditawarkan selama ini sewaktu berdepan dengan kesukaran.

Ini tidak, Astro sesuka hati menaikan yuran langganan dengan mengenakan caj tambahan bagi pakej Astro Movies bukan atas permintaan pengguna, tetapi pandai-pandai Astro.

Apa yang lebih menjengkilkan, kenaikan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada pelanggannya dan dilakukan tanpa menjelaskan sebab-sebab ia berbuat demikian.

Untuk membantu saya mencari jawaban terhadap kemusykilan itu, saya telah meminta seorang sahabat wartawan saya untuk menyiasat soal kenaikan bayaran langganan itu dengan harapan ia boleh menjadi bahan berita yang agak menarik untuk disusul.

Dalam berbuat demikian, inilah penjelasan oleh seorang pegawai perhubungan Astro yang minta disampaikan kepada saya melalui sahabat wartawan itu.

Rupanya punca langganan saya dinaikkan kerana bermula bulan Jun 2021, caj Astro Movies telah dinaikkan lagi RM5.

Alasannya pakej Astro Movies telah ditambah “800 filem dan 18,000 siri kegemaran Disney, Star Wars blockbusters, Pixar animatons, Marvel universe dan dokumentari National Geographics dan Malaysian hits..”

Kunci dalam penjelasan itu adalah “Encik boleh strim 800 filem dan 18,000 siri kegemaran Disney, Star Wars blockbusters…. dan Malaysian hits.”

ASTRO: Berihsanlah Dengan Pelanggan

Andaian silap Astro di sini ialah saya menggunakan wi-fi untuk menonton perkhidmatan saluran TV Astro.

Hakikatnya saya tidak mengakses Astro secara penstriman. Saya tiada perkhidmatan wi-fi untuk melakukan penstriman itu.

Jadi bagaimana saya hendak menstrim pakej tambahan yang ditawarkan itu yang bayarannya telahpun dikenakan ke atas saya.

Kalau para petugas Astro yang menginvois saya tidak meletakkan otaknya di lutut, mereka tahu bahawa saya menggunakan piring Astro (Astro Disk) bukan secara penstriman menggunakan wi fi untuk menonton Astro selama ini.

Justeru dengan menawarkan 800 filem dan 18,000 siri kegemaran siri Disney dan lain-lain yang hanya boleh distrim, tentulah tidak logik caj RM5 Movie Astro dikenakan pada saya.

Bukan sahaja tidak logik, tetapi tidak adil. Pihak berkuasa sila ambil perhatian nasib saya ini.

Astro, korang ada data saya. Dimanakah legitimasi saya dikenakan caj penstriman yang saya tidak gunakan?

Saya berharap Astro dapat menilai semula caj tambahan untuk Astro Movies yang dikenakan kepada saya dan kepada pelanggan lain yang senasib dengan saya kerana kami tidak menggunakan penstriman untuk mengakses perkhidmatan penyiaran Astro.

Sampai bila-bila pun kami tidak akan menonton 800 filem tambahan dan 18,000 pelbagai siri yang ditawarkan oleh Disney dan Hotstar kerana kami tidak menggunakan wi fi untuk mengakses perkhidmatan penyiaran Astro.

Kepada Astro saya ingin menyampaikan mesej berikut:

JANGAN mempelekuh (istilah orang Utara) pelanggan kamu sesuka hati dengan menambah khidmat yang tidak dapat dinikmati.

Tiang gol dalam sesuatu permainan tidak boleh diubah ikut suka hanya kerana hendak mencari pendapatan tambahan.

  1. JANGAN pekena pelanggan kamu dengan caj tambahan tanpa usul periksa apa lagi kalau perkhidmatan tambahan penstriman itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu;

  2. JANGAN letak otak dilutut dalam menjalin perhubungan dengan para pelanggan korang.

  3. JANGAN sesekali gunakan strategi licik memperdaya pengguna kamu dengan caj yang tidak sepatutnya. Apabila penontonan kami terganggu oleh hujan, korang tidak pula memberi diskaun bayaran kepada kami.

Dengan kata lain, jadilah warga korporat yang bertimbang rasa pada masa sukar ini.

Tunjukkanlah keikhsanan korang yang tinggi kepada pengguna korang yang setia melanggan kamu selama ini.-UTV

Oleh: CHAMIL WARIYA

Datuk Dr Chamil Wariya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI).

ASTRO: Berihsanlah Dengan Pelanggan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET



Sebaran :

Leave a Reply