Lepasan SPM 2020 boleh kemas kini UPUOnline mulai 15 Jun


PUTRAJAYA – Lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 boleh mula mengemas kini maklumat keputusan peperiksaan masing-masing melalui sistem UPUOnline selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Jun ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, fasa kemas kini itu dibuat selaras pengumuman keputusan SPM 2020 hari ini.

Menurutnya, pemohon boleh mengemas kini semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali program pengajian yang telah dipanggil temuduga atau ujian.

“Hebahan keputusan permohonan UPUOnline lepasan SPM Sesi Akademik 2021/2022 dijangka dibuat pada minggu ketiga Julai depan,” katanya.

Katanya, KPT juga akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama rakan strategik Universiti Malaya (UM) bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi.

Jelasnya lagi, JMIPT Virtual 2021 melibatkan penyertaan semua universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA); Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan Bahagian Biasiswa KPT.

Menurut KPT, program itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama pada 15 hingga 21 Jun ini khusus untuk pemohon lepasan SPM dan fasa kedua bermula 8 hingga 12 Ogos ini kepada pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.

“JMIPT Virtual 2021 menyediakan 29 slot webinar, sesi ‘live chat’ dan konsultasi secara berkelompok dan individu oleh pempamer secara virtual.

“Kementerian turut mengekalkan jaringan komunikasi sedia ada iaitu talian hotline, sistem maklum balas dan e-mel rasmi sepanjang program berlangsung,” katanya.

Katanya, KPT ingin menjemput semua pihak khususnya pemohon, ibu bapa, penjaga, guru bimbingan dan kaunseling serta orang awam untuk bersama-sama menyertai program JMIPT Virtual 2021. K Online

Keputusan SPM : Seluruh dunia mahu belajar dari Malaysia – Dr Anuar Ahmad

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker