Pengelasan B40, M40 dah tak relevan – pakar ekonomi


Ketika rakyat sedang berdepan dengan cabaran wabak Covid-19, pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai berkata kerajaan tidak sepatutnya menggunakan klasifikasi pendapatan seperti B40 dan M40.

“Memang kumpulan M40 macam saya sebut tadi pengelasan B40, M40 tu dah tak relevan lagi dah sekarang.

“Ia perlu dibuat berasaskan berapa pendapatan yang dibawa balik bagi setiap orang. Baru kita akan tentukan siapa yang layak terima bantuan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas mengenai pengumuman bantuan Pemerkasa Plus oleh Perdana Menteri Isnin lalu, Barjoyai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata pemberian bantuan kepada golongan B40 ketika ini wajar diperluaskan untuk M40.

Meskipun dia melihat bantuan tunai sukar untuk dilaksanakan kecuali kepada mereka yang hilang pekerjaan, tetapi ia tidak mustahil untuk memberi kelonggaran dari aspek moratorium pinjaman.


Barjoyai turut mencadangkan supaya golongan M40 yang masih mempunyai kerja tetapi mempunyai hutang pinjaman yang banyak diberikan pilihan untuk moratorium atau memohon supaya 50 peratus daripada hutang mereka ditangguhkan pada masa hadapan.

“Saya rasa pengumuman PM terlalu umum dan tidak menjurus kepada satu-satu kumpulan,” katanya.

Menurutnya, kemampuan kerajaan besar untuk peruntukan bantuan itu tetapi kerajaan tidak mahu dilihat seperti terlalu boros.

Jangka ada lagi pengumuman skim bantuan

Barjoyai turut menjangkakan akan terdapat satu lagi pengumuman skim bantuan.

“Jadi mungkin selepas ini kena lihat situasi dan kena umumkan lagi tambahan. sebab saya rasa PKP ni takkan berhenti dua minggu.

“Sekurang-kurangnya ia akan berterusan enam hingga lapan minggu mungkin,” katanya.

Bawah bantuan Pemerkasa Plus, moratorium pinjaman automatik diberikan kepada golongan B40, di mana mereka yang layak akan dapat memperolehnya.

Selain itu, mereka yang kehilangan pekerjaan – termasuk mereka daripada golongan pertengahan M40 atau golongan T20 – akan mendapat moratorium pinjaman mereka secara automatik.

Sementara itu, peniaga kecil dan perusahaan sederhana (SME) yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP Penuh turut layak mendapat moratorium pinjaman.

Mereka yang layak boleh memilih moratorium penuh sehingga tiga bulan atau mendapat pengurangan bayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Bagaimanapun, terdapat pengkritik yang membangkitkan persoalan kenapa kerajaan tidak melaksanakan moratorium pinjaman secara ‘total’.

Sementara itu, Prof Shazali Abu Mansor dari Universiti Malaysia Sarawak berkata moratorium sepenuhnya mungkin mustahil untuk dilaksanakan tetapi beberapa kelonggaran lain perlu diteliti.

Katanya, rakyat perlu mengambil kira kemampuan kerajaan dalam pemberian bantuan sepanjang PKP penuh berlangsung.

“Antara inisiatif yang boleh dilakukan boleh menangguhkan pemotongan gaji untuk sumbangan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), menangguhkan potongan gaji bulanan untuk LHDN, moratorium bayaran bank, pengecualian cukai jalan kenderaan, internet, bayaran bil elektrik dan air yang diberikan diskaun,” katanya.

Pada 1 Jun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata bahawa kerajaan tidak boleh memaksa bank untuk melaksanakan moratorium menyeluruh.

“Anda kena faham kerajaan tidak mengawal atau memiliki bank, betul tak?” katanya menjawab gesaan pengkritik berhubung isu tersebut.

“Ini perbincangan antara Bank Negara dan bank-bank. Kami tidak memiliki kemampuan undang-undang untuk memaksa bank melakukan (apa yang kami mahukan),” kata Zafrul. Mk

Moratorium: Kerajaan boleh guna 3 akta ini terhadap bank – Pemuda Umno

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker