UMNO sokong titah Sultan Johor laksanakan PKP penuh


KUALA LUMPUR – UMNO menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika jangkitan Covid-19 tidak ada tanda penurunan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga yakin majoriti rakyat Malaysia pun sependapat dengan Sultan Johor dalam pelaksanaan PKP penuh.

Malah, kata beliau, itu juga antara saranan yang sering diketengahkan ramai pimpinan UMNO kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

“Menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, iaitu kerajaan harus mempertimbangkan lockdown penuh jika jumlah kes jangkitan Covid-19 tiada tanda penurunan.



“Terima kasih Tuanku kerana prihatin dan mengambil berat keadaan rakyat yang terus diancam pandemik Covid-19. Tuanku memahami pandemik Covid-19 yang masih gagal ditangani bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat.

“Malah, menyebabkan ramai ditimpa kesusahan. Barisan hadapan negara juga kian kepenatan dan kegelisahan,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Semalam, Sultan Johor bertitah: “Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan”.

Baginda amat bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan terutama kakitangan perubatan yang terpaksa menanggung bebanan besar virus itu.



“Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau dan barisan kepimpinan UMNO turut mengambil maklum titah baginda segenap lapisan masyarakat perlu bersikap komited kepada saranan self-lockdown.

Katanya, seluruh rakyat wajar menuruti nasihat baginda kerana ia antara langkah yang dapat memutuskan rantaian jangkitan.



“Seperti saya nyatakan sebelum ini kerajaan masih perlu memainkan peranan membantu rakyat supaya dapat melakukan self-lockdown.

“Rakyat perlu dibantu seadanya supaya dapat duduk tenang di rumah dan tidak perlu ke sana ke sini untuk memastikan keperluan diri dan keluarga.

“Semoga titah baginda DYMM Sultan Johor ini mendapat perhatian semua pihak terutama Kerajaan Persekutuan,” katanya. MG

Laksanakan pkp penuh sekarang – Tok Mat



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker