Ular sawa 3.6 meter bawah meja peniaga daging

Sebaran :


MUALLIM: Seorang peniaga daging di Pasar Awam FELDA Sungai Behrang, dekat sini, terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sepanjang 3.6 meter menumpang di bawah meja tempatnya berniaga, hari ini.

Kehadiran reptilia itu disedari Zulkifli Mohad Samsuni, 30, ketika sedang berkemas sebelum memulakan perniagaan kira-kira pukul 8 pagi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran ular itu kira-kira pukul 8.05 pagi.



Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota APM yang lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bergegas ke tempat kejadian yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Bernam Timur.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati seekor ular sawa melingkar di bawah meja konkrit yang menjadi tempat peniaga berkenaan menjual daging,” katanya di sini.

Shahrizal berkata, pihaknya menggunakan alat penangkap ular jenis ‘hook’, bukannya pengepit atau penjerut bagi mengelakkan ular itu cedera.


Menurutnya, ular sawa seberat 40 kilogram itu dapat ditangkap dalam masa 10 minit dan dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Muallim.

Katanya, peniaga daging itu bernasib baik kerana cepat menyedari kehadiran ular sawa yang mungkin terhidu bau daging yang dijual di tempat berkenaan.

Beliau memberitahu, ular sawa itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan ) Sungkai untuk tindakan selanjutnya. Awani


Sebaran :

Leave a Reply