Hikmah penyakit menurut sunnah
SETIAP ujian daripada Allah SWT adalah untuk memperakukan iman yang yang benar. Allah SWT berfirman: “Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah al-Ankabut ayat 2
Oleh itu, setiap ujian atau musibah yang berlaku dalam hidup kita seumpama suntikan vaksin ke dalam tubuh kita. Hendaklah kita menerimanya sebagai pelindung kepada iman kita sebagaimana vaksin melindungi diri daripada penyakit. Oleh itu, sesiapa yang bersabar atas ujian Allah SWT bermakna dia seolah-olah menyuntik vaksin iman dalam dirinya untuk menetapkan keimanan dan meningkatkan tahap ketakwaan kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar:” Surah al-Baqarah ayat 155
Sebagaimana juga firman Allah SWT: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami mengenai adanya orang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita tentang keadaan kamu.” Surah Muhammad ayat 31
Penyakit adalah satu daripada bukti yang menunjukkan manusia ini adalah makhluk yang lemah. Ia datang daripada Allah SWT. Apabila ditentukan Allah SWT akan berlaku, ia pasti berlaku dan akan mengenai sama ada orang baik atau orang jahat. Ia juga boleh berlaku kepada orang yang taat kepada Allah SWT dan orang yang fasiq (ingkar perintah Allah). Cuma ia berbeza antara individu.
Namun, seseorang yang diuji oleh Allah SWT dan dia bersabar di atas ujian itu, pasti Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kelebihan yang banyak. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” Surah al-Zumar ayat 10
Dalam konteks sunah Rasulullah SAW pula, sebenarnya banyak hadis yang menceritakan berkenaan matlamat dan hikmah daripada ujian Allah SWT ke atas hamba-Nya. Antaranya ialah setiap kesabaran atas ujian Allah SWT akan menghapuskan dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan menimpa kepada orang Muslim suatu kepayahan, sama ada penyakit fizikal atau spiritual, kesedihan, penganiayaan dan sebagainya. Dia juga tidak akan tertusuk duri sekecil apa pun melainkan dosanya diampuni Allah.” Riwayat Bukhari
Bahkan, Rasulullah SAW menegaskan dosanya akan berguguran sebagaimana gugurnya daun kering dari pokok. Riwayat Muslim
Seseorang apabila ditimpa musibah atau ujian Allah SWT adalah tanda bahawa ia akan diangkat darjat di sisi Allah. Saidatina Aisyah RA menceritakan: “Tidaklah seseorang Muslim itu tertusuk duri dan seumpamanya melainkan ditulis baginya satu darjat (ketinggian) dan dihapuskan daripadanya satu dosa (kerana sabar).” Riwayat Muslim
Allah SWT menetapkan kepada kita darjat (kedudukan tinggi) di sisi-Nya. Namun, jika dilihat amalan yang kita lakukan semasa di dunia ini tidak mencapai kedudukan itu maka Allah SWT menguji kita. Tujuan-Nya adalah untuk mengangkat darjat kita.
Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang hamba apabila ditetapkan Allah satu kedudukan di sisi-Nya, tetapi dia tidak mampu mencapainya dengan amalannya maka Allah SWT akan mendatangkan ujian sama ada pada tubuh badannya atau hartanya atau anak-pinaknya. Kemudian Allah SWT menjadikannya sabar (di atas ujian itu), sehingga dia mencapai kedudukan (darjat) yang Allah tetapkan itu.” Riwayat Abu Daud
Manusia pastinya akan sentiasa menghadapi ujian daripada Allah SWT sebagaimana ujian pandemik wabak Covid-19 yang kita sedang hadapi sekarang ini. Seluruh dunia sedang merana dan terkesan dengan penularan yang belum reda. Khasnya apabila institusi agama seperti masjid terpaksa ditutup kepada jemaah yang ramai atau dihadkan bilangan jemaah. Ramai yang berasakan seakan-akan ruang untuk beribadah dan peluang mendapat ganjaran pahala sudah tertutup. Namun, kita sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT yakin pastinya ada sebab dan hikmah di sebalik musibah ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau musafir akan ditulis pahala amalannya sebagaimana dia bermukim dan sihat.” Riwayat al-Tabrani
Bermakna, ibadah yang kita lakukan sama ada di rumah atau secara bersendirian (tidak ke masjid kerana darurat) tetap mendapat ganjaran pahala seumpamanya di sisi Allah SWT.
Menjadi matlamat hidup manusia ialah mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat iaitu matlamat yang lebih utama ialah untuk menggapai syurga di akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan (kehilangan) dua kekasihnya (kedua-dua matanya) kemudian dia bersabar, nescaya Aku menggantikan kedua-duanya (dua matanya) dengan syurga.” (Riwayat Bukhari)
Begitulah besarnya ganjaran dan kurniaan Allah SWT kepada orang yang bersabar di atas ujian daripada-Nya. Maka, menjadi kewajipan kita semasa pandemik ini tetap bersangka baik dengan Allah SWT dan menerima dengan reda. Namun, jangan sekali-kali meminta penyakit kerana kesihatan bagi seseorang itu lebih baik daripada musibah dan penyakit. Malah, ditakuti akan ditimpakan penyakit yang tidak tertanggung.
Tegasnya, walaupun pelbagai reaksi terhadap penerimaan vaksin Covid-19, vaksinasi untuk iman dan takwa adalah suatu kemestian. Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita mesti mempertahan dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Di samping terus menjaga kesihatan masing-masing agar tidak terjerumus kepada penyakit berbahaya, yakinlah dengan segala hikmah yang dijelaskan Rasulullah SAW. Janganlah dengan ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan ini menjadikan kita kalah atau menggadaikan iman. Allah SWT mengingatkan kita supaya sentiasa beriman dan bertakwa melalui firmanNya: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” Surah Ali Imran ayat 102
Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Universiti Malaya (UM)
“Hati-hati mencari kawan. Inilah 5 cara memilih sahabat”- Pesan Imam al-Ghazali
You must be logged in to post a comment.