Kadar testosteron tinggi kurang berisiko alami Covid-19 kritikal

Sebaran :

Satu kajian mendapati lelaki yang mempunyai hormon testosteron yang lebih tinggi kurang berisiko untuk mengalami kes Covid-19 yang kritikal, lapor portal MailOnline kelmarin.

Kajian yang dijalankan oleh Fakulti Perubatan Universiti Washington itu menunjukkan semakin rendah kadar testosteron seseorang lelaki, semakin tinggi kebarangkaliannya untuk menunjukkan simptom-simptom yang kronik, memerlukan ventilator atau maut akibat Covid-19.

Dalam kajian tersebut, para penyelidik mengukur kadar hormon yang terkandung dalam sampel darah 92 pesakit lelaki dan 60 pesakit wanita di Hospital Yahudi Barnes yang dimasukkan ke hospital kerana menunjukkan simptom-simpton jangkitan Covid-19.



Mereka seterusnya menguji pelbagai jenis hormon, dan mendapati testosteron adalah satu-satunya hormon yang menunjukkan hubung kait yang kuat dengan jangkitan virus itu.

Pesakit lelaki yang dimasukkan ke hospital dengan simptom-simptom yang kronik mempunyai purata kadar hormon testosteron sebanyak 53 nanogram bagi setiap satu desiliter.

Kebiasannya, tahap testosteron darah yang kurang daripada 250 nanogram bagi setiap satu desiliter adalah dianggap kadar yang rendah.


Bagaimanapun, selepas tiga hari dimasukkan ke hospital, dalam kebanyakan kes kronik, kadar testosteron darah merosot kepada 19 nanogram bagi setiap satu desiliter secara purata.

Hal ini turut menunjukkan bahawa orang lelaki yang menghidap Covid-19 dalam tempoh masa lebih lama akan kehilangan hormon testosteron.

“Ketika pandemik ini, terdapat anggapan yang mengatakan bahawa testosteron adalah tidak bagus. Namun, kajian kami membuktikan yang sebaliknya.

“Jika seorang lelaki memiliki kadar testosteron yang rendah apabila dia pertama kali dimasukkan ke hospital, dia berisiko untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang kronik.

“Ini bermaksud risikonya untuk memerlukan penjagaan rapi atau mati adalah lebih tinggi berbanding lelaki yang mempunyai kadar testosteron lebih tinggi.

“Seterusnya, jika kadar testosteron merosot lebih banyak ketika dirawat di hospital, risiko akan terus meningkat,” ujar penulis kanan jurnal tersebut, Dr. Abhinav Diwan.

Buat masa ini, para penyelidik sedang mengkaji sama ada pesakit lelaki Covid-19 yang sedang pulih boleh mendapat manfaat daripada terapi testosteron. – AGENSI

Covid-19 hidup dalam zakar 6 bulan


Sebaran :

Leave a Reply