Belum ada kuota rasmi jemaah haji Malaysia

Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengakui belum lagi menerima jumlah sebenar kuota jemaah haji Malaysia bagi musim ibadah fardu itu kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kerajaan Arab Saudi belum lagi memuktamadkan perkara itu.

“Secara rasmi, pihak kerajaan Malaysia dan Tabung Haji masih lagi menunggu pengumuman rasmi yang terus daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.



Beliau merujuk beberapa laporan media tempatan dan asing berhubung perkembangan isu ibadah Rukun Islam yang kelima itu bagi musim haji 1442H sekitar pertengahan Julai depan.

Antaranya, dilaporkan Arab Saudi dijangka kononnya hanya membenarkan sejumlah 60,000 jemaah asing meliputi 60 negara sahaja dengan setiap negara itu cuma kuota 1,000 orang.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Tabung Haji sedang giat membuat persediaan operasi di tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal jemaah.

“Persiapan awal diperkukuhkan mengambil kira norma baharu di stesen berlepas selain di Mekah dan Madinah meliputi penginapan, pengangkutan, sajian dan lain-lain,” kata beliau.



Ujarnya, Tabung Haji juga beberapa kali bermesyuarat secara berkala dengan Kementerian Kesihatan bagi persediaan menangani urusan kesihatan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

“Bakal jemaah turut disarankan segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi memenuhi prasyarat wajib ditetapkan Arab Saudi selaras protokol kesihatan yang ketat,” katanya. -K! ONLINE

Tabung Haji jangka kos haji naik RM25,000



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker