Jemaah luar negara dibenar tunai haji tahun ini
JEDDAH: Jemaah dari luar negara akan dibenar menunaikan haji tahun ini dengan mematuhi syarat kesihatan dan langkah berjaga-jaga yang ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Akhbar Al-Watan melaporkan, semua langkah kawalan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu dipatuhi bagi mengekang penularan COVID-19.
Perkembangan itu menyusuli kenyataan Kementerian Haji dan Umrah pada 9 Mei lalu, untuk meneruskan ibadat haji tahun ini.
Sehubungan itu, semua semua jemaah perlu memenuhi syarat kesihatan, keselamatan dan peraturan bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan mereka terjamin.
Awal bulan ini, kementerian terbabit berkata institusi perubatan di Arab Saudi akan terus menilai keadaan semasa dan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi kesihatan semua.
Menurut kementerian itu lagi, langkah terperinci dan perancangan lain akan diumumkan bila tiba masanya nanti.
Ibadat haji lazimnya menyaksikan lebih 2.5 juta umat Islam menunaikan rukun Islam kelima itu di Makkah tetapi terpaksa dihadkan buat pertama kali dalam sejarah tahun lalu, dengan hanya 1,000 jemaah menunaikannya akibat ancaman coronavirus.
Berikutan sempadan antarabangsa ditutup, hanya mereka yang berada dalam Arab Saudi ketika itu dibenar menunaikan ibadat haji tahun lalu. AGENSI
You must be logged in to post a comment.