Boleh total lockdown, pastikan rakyat diberi bantuan – Zahida
Kerajaan perlu memberi jaminan rakyat akan mendapat bantuan sewajarnya jika mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang lebih ketat.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya sama seperti disediakan kerajaan ketika PKP 1.0 tahun lalu.
“Khabar angin mengatakan, kerajaan akan melaksanakan sekali lagi total lockdown seperti PKP 1.0 pada 18 Mac tahun lalu memandangkan angka positif Covid-19 terlalu tinggi.
“Kita tidak ada masalah, asalkan pandemik ini dapat dikawal, tetapi ianya mesti dilaksanakan dengan syarat, iaitu kerajaan mesti memberi jaminan bantuan kepada rakyat sepanjang total lockdown nanti,” katanya menerusi laman Facebooknya.
Zahida Zarik berkata, selepas kerajaan mengumumkan darurat pada 12 Januari lalu, kemudian diteruskan dengan PKP 2.0, tetapi masih gagal untuk memutuskan rantaian penularan virus Covid-19.
Katanya, pelaksanaan PKP yang lebih ketat ini menyebabkan rakyat akan berkurung, sektor ekonomi ditutup, orang ramai hilang pekerjaan dan berhadapan dengan pelbagai tekanan.
Oleh itu, kerajaan mesti mengumumkan bantuan secukupnya seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM2,000 kepada golongan B40, RM1,400 untuk M40, RM1,200 kepada bujang gaji RM2,000 ke bawah dan RM900 kepada bujang gaji RM2,000 ke atas.
“Pada masa sama, kerjaaan perlu aktifkan semula bantuan lain seperti moratorium selama sekurang-kurangnya tiga bulan, memberi kelonggaran kepada pencarum KWSP untuk i-Lestari 2.0 dan i-Sinar 2.0.
“Bagi peniaga kecil pula, kerajaan perlu perbanyakkan lagi bantuan dan bimbingan untuk mereka ‘transform’ perniagaan secara bersemuka kepada perniagaan atas talian.
“Kesihatan rakyat mesti dijaga, kebajikan jadi keutamaan, sektor ekonomi juga perlu seiring agar negara tidak benar-benar ‘bankrap’ seperti yang dicanang Pakatan Harapan dahulu,” katanya. MG
You must be logged in to post a comment.