Persatuan perniagaan bantah sekatan sepenuhnya, mahu SOP lebih ketat, percepat program vaksinasi


Selepas melalui keperitan daripada pelaksanaan kawalan sekatan pergerakan sepenuhnya tahun lepas, persatuan dan persekutuan merangkumi pelbagai perniagaan mengambil keputusan sebulat suara tidak bersetuju terhadap langkah sekatan secara total, tetapi sebaliknya prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat patut dikuatkuasakan untuk membendung gelombang terbaru penularan COVID-19.

Malaysia mencatatkan jumlah harian tertinggi kes iaitu 6,075, melonjakkan jumlah kes aktif kepada 47,340, sekali gus menyarankan sekatan pergerakan sepenuhnya di dalam negara, terutama di Selangor.

Menurut Persatuan PKS Malaysia, sekatan pergerakan sepenuhnya akan memberi kesan yang signifikan terhadap pemulihan ekonomi negara kerana sekitar 40 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah menderita dan 37.7 peratus akan menutup operasi perniagaan mereka untuk selamanya.

Memetik contoh kaji selidik yang dilakukan oleh persatuan itu, presidennya Datuk Michael Kang berkata: “Sekiranya langkah yang sama diambil semasa PKP 1.0 bagi PKP 3.0, lebih daripada 40 peratus PKS akan mengalami masalah kewangan yang teruk dan dua juta kehilangan pekerjaan.”‘

Presiden kebangsaan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Datuk Tan Cheng Kiat pula berkata pengalaman dan pelajaran daripada PKP 1.0 menunjukkan walaupun keluk semakin mereda, kehancuran terhadap ekonomi hampir tidak dapat dipulihkan.

Pelaksanaan SOP yang tidak jelas dan penguatkuasaan secara sembarangan telah menjejaskan perniagaan, tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) Peter Lim berkata penutupan selama empat minggu seperti yang dialami semasa PKP 1.0 tahun lepas telah menyebabkan kerugian sebanyak RM1.15 bilion daripada penjualan eksport sahaja.

“Oleh itu, kami tidak boleh berdepan dengan satu lagi sekatan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Industri berkenaan pada masa ini menggajikan kira-kira 250,000 pekerja, termasuk profesional seperti jurutera, pereka dan penganalisis data.

“Kira-kira 70 peratus ahli kami terdiri daripada PKS dan lebih daripada 30 peratus adalah pengeksport.

“Pengeksport kami perlu meneruskan operasi kerana akibat daripada penutupan operasi sepenuhnya akan memberi kesan yang sangat buruk kepada perniagaan dan ekonomi. Banyak pengeluar alat ganti automotif bergantung pada perniagaan eksport, ” jelas beliau.

Malaysia membekalkan komponen komponen automotif ke seluruh dunia dan merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan automotif global.

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) turut mendesak kerajaan untuk tidak melaksanakan sebarang bentuk penutupan secara menyeluruh, baik di seluruh negara mahupun di negeri-negeri dengan kadar jangkitan tinggi seperti Selangor.

“Teruskan dengan model PKP 2.0 untuk membolehkan sektor ekonomi beroperasi tetapi terapkan SOP yang lebih ketat untuk menurunkan kadar jangkitan dengan cepat,” kata presiden Tan Sri Datuk Soh Thian Lai.

Beliau turut mencadangkan sekatan yang lebih ketat terhadap mobiliti dan arahan kekal di rumah; penjadualan semula giliran kerja di kilang dengan mengurangkan pekerja beroperasi berdasarkan penilaian individu syarikat; dan amalan kerja dari rumah (WFH) sepenuhnya untuk syarikat yang mampu dan mempunyai kemudahan sokongan yang diperlukan untuk berbuat demikian.

“Teruskan dengan bantuan yang diperlukan termasuk bantuan kewangan seperti moratorium pinjaman, program subsidi upah, bantuan pembiayaan, pengurangan kos perniagaan seperti kos utiliti, sumbangan berkanun, kadar pembiayaan dan lain-lain untuk membantu industri yang terjejas teruk oleh PKP 3.0 dan COVID-19. ”

Soh turut menggesa kerajaan mempercepat program imunisasi agar sektor ekonomi dapat mencapai imuniti kawanan dengan lebih cepat.
Seperti FMM, Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) juga meminta kerajaan mempercepat proes vaksinasi untuk masyarakat umum dan pelaksanaan program imunisasi nasional untuk sektor ekonomi mencapai imuniti kawanan.

Ia mencadangkan agar syarikat yang berintensifkan tenaga kerja dan pekerjaan dalam kurang daripada jarak selamat satu meter harus melakukan ujian swab ke atas pekerja masing-masing setiap dua minggu sebelum membenarkan mereka memasuki premis.

Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) sebaliknya menyatakan pihaknya berharap kerajaan memberi keutamaan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam ekosistem hospital untuk vaksinasi, termasuk wakil klinikal dan juruteknik dalam lingkungan tenaga kerja industri peranti perubatan dan mereka yang penting dalam rantaian bekalan pembuatan alat peranti perubatan.

Ia percaya bahawa dengan kerjasama yang kuat antara kerajaan dan sektor swasta, negara akan dapat bertahan dalam mengharungi krisis ini.
BERNAMA

Segera laksanakan ‘total lockdown’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker