Noorkhiriah menggigil anak hilang
Hati ibu mana yang tidak rungsing apabila anak kesayangan hilang dari pandangan matanya.
Itulah perasaan yang dialami aktres Noorkhiriah Ahmad Shapie selama beberapa jam apabila anak sulungnya, Muhammad Hudhaifah Azfaizul, 12, dilaporkan hilang awal pagi tadi di sekitar kawasan Kota Damansara.
Selain hanya berdoa kepada Allah agar menemukannya, Noorkhiriah turut memaklumkan kehilangan Hudhaifah di akaun media sosialnya dengan harapan orang ramai dapat membantu mengesannya.
Berita kehilangan Hudhaifah itu turut dikongsi beberapa selebriti lain di akaun media sosial masing-masing.
Selepas menyedari kehilangan anaknya, Noorkhiriah seakan ‘hilang arah’ seketika sehingga tubuhnya menggigil kerana takut dengan situasi itu.
“Saya tak mampu bayangkan kalau dia (anak) hilang selama lamanya,” itu reaksi Noorkhiriah ketika ditanya apa yang terbayang di fikirannya saat mengetahui Hudhaifah tiada di depan mata.
Kata Noorkhiriah, paling dirisaukannya hal-hal yang tidak elok berlaku pada anaknya itu.
“Jujur saya menggigil ketakutan fikir bukan-bukan. Apa jadi kepadanya? Macam-macam berlegar dalam kepala.
“Tapi syukur, kawan suami saya menemuinya di sebuah kawasan parkir kereta beberapa jam selepas itu,” ujarnya yang menyambut berita penemuan anaknya itu dengan penuh kesyukuran.
Noorkhiriah yang masyhur menerusi lakonannya dalam drama Nur berkongsi mengenai kehilangan anaknya kali terakhir dilihat berbasikal merah dan menyarung baju panas berwarna kuning tertera tulisan negara Australia.
Noorkhiriah berkahwin dengan Azfaizul Ahtan sejak 15 tahun lalu dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Selain Hudhaifah, pasangan berkenaan juga mempunyai seorang lagi anak lelaki Muhammad Yusoff, 10, dan anak perempuan bernama Nur, 2.
Awani
You must be logged in to post a comment.