PN jangan ghairah seperti PH jual aset negara


Pemuda UMNO mendesak agar cadangan pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang oleh WCT Berhad melalui anak syarikat mereka Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) yang sudah sedia untuk dibawa ke peringkat Kabinet dihentikan serta-merta.

Ia bagi menjamin kepentingan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang hakikatnya mewakili kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

LTAAS adalah antara 39 lapangan terbang di seluruh negara diuruskan oleh MAHB yang mana ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik institusi seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) yang bertindak sebagai operator lapangan-lapangan terbang itu melalui satu perjanjian konsensi jangka panjang bersama kerajaan Malaysia.

Antara mandat MAHB adalah memastikan caj perkhidmatan penumpang yang dikenakan kepada rakyat yang menggunakan lapangan terbang di negara ini adalah berpatutan dan memastikan semua 39 lapangan terbang beroperasi dengan lancar dan baik.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, Pemuda UMNO berpendapat sebarang usaha pengambilalihan oleh WCT Berhad harus dihentikan serta-merta berasaskan tujuh asas iaitu aset lapangan terbang adalah aset strategik bagi negara terutamanya melibatkan soal keselamatan negara, ketenteraan, keterhubungan wilayah dan rancangan pembangunan ekonomi negara.

Kawalan ke atas aset ini melalui syarikat GLC adalah penting bagi menjamin kepentingan negara tidak terlepas ke tangan pihak swasta yang lebih berorientasikan ‘memaksimumkan keuntungan’.

Menurut Asyraf, LTSAAS adalah antara lapangan terbang yang memberikan keuntungan besar kepada MAHB dan hasil pendapatan dari LTSAAS digunakan untuk membiayai operasi atau subsidi bersilang lapangan-lapangan terbang lain termasuk lapangan terbang kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, jelasnya, cadangan oleh WCT Berhad dibuat dengan tergesa-gesa dan dilihat mengambil kesempatan di kala kekeliruan negara sedang dilanda gelombang baru wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Cadangan ini difahamkan cuba diangkat tanpa melibatkan entiti penting seperti Kerajaan Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan lain-lain.

Model perniagaan yang ditawarkan oleh WCT untuk LTSAAS adalah lebih bercorak pembangunan hartanah mewah dan gedung membeli belah untuk keuntungan jangka masa singkat semata-mata.

Tambahnya, cadangan WCT Berhad untuk LTSAAS juga tidak holistik dan tersasar jauh dari Pelan Induk Pembangunan Lapangan Terbang Subang yang dibangunkan oleh oleh MAHB sendiri.

Pelan ini bertujuan untuk meletakkan Subang sebagai Hab Aeroangkasa Global yang boleh mencipta lebih 19,000 pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi dan seterusnya menyokong sebanyak 74,000 pekerjaan lain dalam keseluruhan ekonomi.

Malah, MAHB mempunyai kepakaran, keupayaan dan pengalaman untuk melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Lapangan Terbang Subang, termasuk perlaburan berjumlah RM1.3 billion yang dibiayai sendiri oleh pengendali lapangan terbang itu.

Jelasnya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh meneruskan lagi pendekatan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ghairah menjual aset-aset strategik dan bernilai tinggi milik kerajaan kepada pihak swasta untuk membiayai operasi kerajaan. MG

Apa Kena Dengan Mereka… Hari-hari Keluar Kenyataan Berbaur Angkuh – Dr Asyraf Wajdi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker