Dijangka berlaku lonjakan kes harian – Dr Noor Hisham



Sebaran :


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti berlaku di luar negara susulan penularan varian baharu dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan varian baharu virus SARS-CoV-2 dalam komuniti terutamanya beberapa Variant of Concern (VOC) di Malaysia kebelakangan ini adalah amat membimbangkan.

Menurutnya, KKM menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti yang berlaku di luar negara.



“Ini adalah kerana varian VOC ini dikaitkan dengan kadar penularan yang lebih cepat dengan kadar kematian lebih tinggi.

“Selain daripada meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara, KKM ingin menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ia bermula dengan diri sendiri, di mana kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting.



“Majikan juga digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa.

“Negara masih kekal merekodkan kes harian Covid-19 melebihi empat digit dengan kes aktif ketika ini sudah melebihi 40,000 kes,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara juga hampir mencecah kapasiti maksimum.



“Lebih membimbangkan, terdapat semakin banyak kes positif yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sokongan alat bantuan pernafasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Pada masa yang sama juga, jumlah kes kematian harian yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan makin meningkat saban hari,” katanya.

Menurutnya, peningkatan kes secara mendadak ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.



“Rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!,” katanya. HM

SOP ‘Ke Laut’, kes COVID-19 naik – Dr Noor Hisham


Sebaran :


Leave a Reply