Kes artikel hina TMJ, Tamrin mohon bicara di luar Johor


Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Ghafar, yang berdepan tuduhan memuat naik artikel di Facebook tahun lalu terhadap seorang kerabat diraja Johor, memohon prosiding mahkamah dijalankan di Kuala Lumpur.

Tamrin, 70, anak bekas timbalan perdana menteri, Ghafar Baba, berkata beliau akan berdepan prejudis, jika kesnya didengar di Johor akibat “pengaruh luar” kerana ia melibatkan kerabat diraja Johor.

“Ini boleh menjejaskan keputusan mahkamah. Oleh itu, prosiding mahkamah patut dipindahkan ke Kuala Lumpur supaya keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam afidavit sokongan yang dilihat FMT.

Dalam permohonan yang difailkan Selasa lalu, Tamrin, yang menetap di Kuala Lumpur, berkata beliau dimaklumkan peguamnya, Mahkamah Sesyen di sini mempunyai kuasa memindahkan kes ke negeri lain.



Kata beliau, akan ada kos tambahan bagi perjalanan ulang alik antara Kuala Lumpur dan Johor sepanjang perbicaraan berlangsung, dan saksi serta pegawai penyiasat juga berasal dari Kuala Lumpur.

Tamrin berkata, beliau menghidap penyakit jantung dan penyakit lain.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pengurusan kes akan diadakan di hadapan Hakim Wan Norisham Wan Yaakob pada 23 Mei ini.

“Kami juga memohon perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan ini.”



Tamrin, yang juga bekas pengerusi MARA, didakwa menyalahgunakan kemudahan rangkaian mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat Media RPO, Jalan Persiaran Southkey 1, di sini kira-kira 9 malam 2 Feb tahun lalu.

Pada 10 Mac lalu, Tamrin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memuat naik artikel bersifat menghina Tunku Mahkota Johor di Facebook.

Artikel itu antara lain membidas kenyataan TMJ yang menurutnya ditujukan kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.



Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000. FMT

[VIDEO] JDT Kalah Di Laman Sendiri, Sekali TMJ Masuk Bilik Persalinan Pemain Terengganu FC Buat Kejutan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker