Pasangan kembar bertukar juadah raya di SJR
Sepang: “Tak dapat nak gambarkan perasaan, takut bercampur seronok sebab risau jika polis tidak benarkan kami berjumpa,” kata Erme Harlini Zullkifli, 37.
Erme Harlini, hari ini berkesempatan bertemu kembarnya, Erme Harlina untuk bertukar juadah Aidilfitri di sekatan jalan raya (SJR) sempadan daerah Sepang dan Nilai pada 9.45 pagi.
Ketika dihubungi Harian Metro, Erme Harlini berkata, ini kali pertama mereka bertemu untuk bertukar juadah hari raya selepas tahun lalu turut tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama.
Menurutnya yang menetap di Sungai Merab, Sepang, dia hanya sempat mengambil masa beberapa minit untuk bertemu pasangan kembarnya di SJR terbabit.
Katanya, dia mengambil masa 20 minit untuk tiba di SJR terbabit, manakala kembarnya ke situ hanya kurang dua minit berikutan tinggal berdekatan kawasan berkenaan.
Sementara itu, Erme Harlina yang menetap di Nilai berkata, dia turut gemuruh ketika ingin bertemu saudara kembar berikutan jarang sekali dilihat membuat pertemuan di SJR, sempadan daerah.
Katanya, mereka bertukar juadah kegemaran masing-masing, iaitu daging masak merah, ayam kicap serta kuih raya, dan hanya sempat bersua muka tidak lebih lima minit.
“Bagi saya, raya tahun ini cukup menginsafkan dan bersyukur masih dapat meraikan Aidilfitri walaupun kita di bawah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),
“Di sebalik kita masih boleh meraikan Aidilfitri, rakyat Palestin dan Syria masih bergelut dengan pergolakan,” katanya.
Dalam pada itu, Erme Harlini berkata, meskipun gembira dapat bertemu kembarnya, keriangan Syawal masih kurang dirasai kerana tidak dapat berkumpul ibu bapa di kampung.
“Sedih sebab masih tidak dapat berjumpa ibu bapa di Kemaman, Terengganu.
“Namun, Alhamdulillah kerana mereka (ibu bapa) tidak bersendirian kerana adik bongsu ada menemani Syawal kali ini,” katanya.
You must be logged in to post a comment.