Sambutan Aidilfitri di Sarawak dibenar sehari saja


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan sambutan Aidilfitri di Sarawak hanya dibenarkan pada hari raya pertama dengan kehadiran keluarga terdekat saja.

Menurut kenyataan JPBN hari ini, keputusan berkenaan dibuat selepas menilai situasi semasa COVID-19 di negeri itu yang turut dipersetujui Majlis Islam Sarawak.

Katanya, pindaan garis panduan (SOP) yang terperinci boleh didapati dalam laman rasmi Majlis Islam Sarawak di http://www.mis.sarawak.gov.my.

Hari ini, Sarawak merekodkan 649 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 35,809 kes dengan dua kematian baharu akibat jangkitan itu dan jumlah terkini kematian adalah 209 orang.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan dua lagi kluster komuniti baharu iaitu kluster Ulu Anap di Tatau dan kluster Emperan di daerah Selangau.

Kluster Ulu Anap membabitkan sebuah rumah panjang di Ulu Sungai Anap di daerah Tatau, yang mana kes indeksnya seorang wanita warga tempatan berumur 38 tahun dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Nanga Tau pada 29 April dan disahkan positif COVID-19 pada 1 Mei lalu.

Kluster Emperan pula membabitkan tiga rumah panjang di daerah Selangau dengan kes indeksnya membabitkan seorang wanita warga tempatan berumur 27 tahun yang juga dikesan melalui saringan individu bergejala.

Setakat ini, 78 kluster masih aktif di negeri ini dengan 17 kluster merekodkan 150 penambahan kes baharu dan 61 kluster lagi tidak merekodkan penambahan kes. BERNAMA

Muhyiddin umum PKP seluruh negara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker