Akibat dadah, pelajar IPT tikam, tolak rakan dari tingkat 26
Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) berusia 24 tahun ditikam beberapa kali oleh rakannya sehingga meninggal dunia sebelum ditolak dari tingkat 26 di sebuah tapak pembinaan di Damansara Perdana.
Kejadian yang berlaku pada 6 Mei lalu itu apabila mangsa dan rakannya yang juga berusia 24 tahun bertelingkah kerana tidak puas hati dengan hasil jualan dadah dan isu hutang.
Menurut Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, mangsa ditolak dari balkoni selepas meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak selepas ditikam beberapa kali.
“Bertindak atas maklumat dan hasil risikan pada 9 Mei (Ahad) jam lebih kurang 4.25 petang sepasukan polis dari cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menangkap seorang lelaki warganegara tempatan 24 tahun di kawasan tempat letak kenderaan di Bandar Sunway,” katanya ketika sidang media di IPD Petaling Jaya.
Selepas pemeriksaan dilakukan, didapati rakan mangsa yang juga suspek mengalami cedera pada dua belah tangannya akibat bergelut dengan mangsa.
“Suspek mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan swasta yang mana telah menerima lebih kurang 100 jahitan akibat kecederaan tersebut,” tambah Fakhrudin.
Tambah beliau, suspek kemudian menyerahkan pakaian miliknya yang berlumuran darah yang disimpan di kediamannya di Taman Sri Kuching, Kuala Lumpur.
Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, bagaimanapun dia disahkan positif dadah jenis ganja.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Fakhrudin berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 Mei 2021 untuk siasatan lanjut. MG
You must be logged in to post a comment.